MADRID 5 Mei – Roger Federer berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menyertai pertandingan pertamanya dalam gelanggang tanah liat sejak 2016, tetapi mengakui seronok menjalani latihan di permukaan tersebut menjelang kejohanan tenis Terbuka Madrid, minggu ini.
Diletakkan selaku pilihan keempat pada pertandingan di ibu negara Sepanyol itu, Federer melakukan penampilan sulungnya di Caja Magica sejak 2015.
Bintang tenis Switzerland berusia 37 tahun itu, telah memilih untuk mengetepikan pertandingan di gelanggang tanah liat sejak dua musim lepas, tetapi, mengumumkan Januari lalu bahawa dia bersedia untuk kembali pada pertandingan permukaan tersebut, tahun ini.
Federer mendapat bye dalam pusingan pertama dan akan memulakan kempennya, Rabu ini, menentang sama ada Richard Gasquet atau pemain remaja Sepanyol yang mendapat tiket wildcard, Alejandro Davidovich Fokina.
“Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar. Saya seronok dan bertuah kerana cuaca berada dalam keadaan baik sewaktu saya mula berlatih. Jadi, ia membantu kerana saya masih ingat tiga atau empat tahun lalu, ketika saya berlatih, salji turun, seperti hujung minggu ini di Switzerland, dan ia sama sekali tidak memberi inspirasi kepada saya untuk turun berlatih.
“Tahun ini, nampaknya semuanya berjalan lancar, saya benar-benar seronok. Saya gembira berada di sini dan saya juga gembira dengan permukaan gelanggang,” kata Federer yang menjalani latihan di tanah airnya bersama pemain Britain yang menghuni ranking No. 85 dunia, Dan Evans. – AFP











