KUALA LUMPUR 25 Mei – Pada ketika isu menumbuk pemain PKNP FC belum pun reda, penjaga gol Selangor, Farizal Harun sekali lagi mencetus kontroversi apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Red Giants ketika pasukan itu tewas 0-1 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam tadi.
Bagaimanapun, sebaik sahaja insiden itu menjadi viral di media sosial dan mendapat kecaman ramai pihak, Farizal, 33, pantas mengemukakan permohonan maaf kepada seluruh penyokong Selangor.
Dalam video ringkas yang dimuat naik di Instagram selangorfans_official, Faizal atau lebih mesra dipanggil Ejai menyesali keterlanjurannya dan memohon maaf secara terbuka.
“Saya Farizal Harun mahu meminta maaf kepada penyokong Selangor, saya kesal dengan tindakan saya dan harap FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) dapat memperbetulkan keadaan ini.
“Saya sedia menerima sebarang hukuman dan harap FAS dapat membuat keputusan seadilnya dalam menentukan tindakan yang hendak diambil ke atas saya,” kata Farizal.
Menurut bekas penjaga gol Felda United itu, dia tidak memaki penyokong Red Giants tetapi kepada hanya seorang individu, dan menganggap perkara ini sebagai salah faham.
Sementara itu, FAS dalam satu kenyataan di Facebook berkata, mereka sedang mempertimbangkan tindakan susulan yang wajar diambil untuk kebaikan semua pemegang taruh yang berkepentingan.
“FA Selangor sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik kepada pemain, pegawai dan penyokong setia Red Giants,” tulis badan bola sepak itu.
Dalam aksi Liga Super menentang PKNP FC pada 18 Mei lalu, Farizal tidak semena-mena menumbuk muka pemain lawan, Mohamad Al-Fateh Afandi.
FAS telah mengeluarkan amaran keras atas insiden itu, malah ia masih dalam siasatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam insiden terbaru di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi, dia dilihat menghampiri sekumpulan penyokong Selangor sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan pasukan itu tewas gara-gara gol sendiri K. Sarkunan. – UTUSAN ONLINE











