Dalam suhu dingin ruang legar kompleks beli-belah GMBB Mall, Kuala Lumpur pagi itu, Siti Shaqira Ramli mencetuskan tanda tanya para pengunjung apabila memanaskan sesuatu di dalam periuk sambil mengaduk-aduk persis memasak.
Tambah mengundang hairan, di hadapan wanita yang berhijab dan berbaju ala kimono itu terdapat sebuah baldi berisi larutan berwarna biru.
Siti Shaqira, 29, kemudian bingkas mencapai sehelai kain putih lalu dilipat-lipat menjadi segi tiga sebelum ia diikat dengan apitan dua batang kayu aiskrim.
Bahan dimasak yang merupakan rebusan pisang itu kemudian dicampur kepada larutan biru tersebut. Selepas mengacaunya, dia kemudian mencelup kain itu ke dalam campuran larutan biru berkenaan sekali gus jari-jemarinya turut membiru.
“Saya tak kisah jari-jari jadi biru. Lagipun ini bahan semula jadi, ia selamat.
“Kalau nampak jari saya yang kebiruan ini, ia bagai petanda dan mudah orang tahu yang saya baru saja membuat shibori menggunakan indigo, iaitu sejenis tumbuhan.
“Dalam sehari kesan biru ini boleh hilang,” katanya ketika ditemui K2 di GMBB Mall baru-baru ini sambil menunjukkan corak pada kain tersebut selepas ikatan dileraikan dan lipatan dibuka.
Begitulah antara proses yang dilakukan untuk menghasilkan corak menerusi teknik shibori.
Shibori adalah teknik pembuatan corak pada fabrik menggunakan bahan alam yang telah diasaskan di Jepun sejak era Edo (1603-1867) lagi. Ia suatu teknik mewarna corak kain dengan terdapat bahagian yang dikenakan pewarna dan ada bahagian yang tidak terkena pewarna.
Lazimnya, shibori menggunakan tanaman indigo yang apabila dibancuh berwarna biru. Teknik ini secara tradisinya popular di Jepun dan telah berkembang di banyak negara Asia. Cuma, di Malaysia tidak ramai yang mengusahakannya. Kata Shaqira, mungkin kurang daripada 10 yang mengusahakannya.
Penulis sendiri didedahkan mengenai shibori indigo dalam satu lawatan di Taiwan lewat 2015 lalu.
Shibori merupakan satu kaedah yang penuh kejutan kerana corak yang dihasilkan tidak dapat dijangka. Selepas dicelup dengan larutan pewarna semula jadi itu, lipatan atau ikatan kain akan dibuka dan barulah corak yang terhasil dapat dilihat.
Ketepatan suhu
Lipatan atau ikatan kain itu boleh dibuat dengan pelbagai cara mengikut kreativiti pembuatnya. Ikatan juga boleh dibantu dengan getah, tali, batu, guli dan sebagainya.
Namun, sebenarnya shibori tidak terhad dengan pewarna indigo yang berwarna biru bahkan ia boleh dikembangkan dengan bahan alam lain seperti kunyit untuk dijadikan pewarna kuning meskipun prosesnya sedikit ringkas berbanding indigo.
“Bagi indigo, bancuhannya perlu dicampur dengan fruktosa atau sirap daripada pisang yang direbus sebaliknya bahan-bahan alam lain tidak perlu tambahan fruktosa untuk dijadikan pewarna. Itu juga menyebabkan indigo lebih stabil dan warnanya tahan lebih lama,” katanya.
Secara asasnya, ia melibatkan pelbagai cara untuk membentuk corak seperti itajime (corak bersegi-segi biasanya menggunakan cara lipatan), arashi (corak seperti hujan biasanya dihasilkan dengan menggulungkan pada kayu) dan niu (corak yang terhasil daripada elemen jahitan).
Siti Shaqira yang menganjurkan bengkel membuat shibori kepada orang ramai menerusi perniagaannya, Bohomys berkata, membuat pewarna daripada bahan semula jadi itu agak rumit dan ia memerlukan ketepatan suhu untuk menghasilkannya.
“Indigo diperolehi dalam bentuk serbuk. Serbuk itu dicampurkan dengan air untuk membentuk larutan. Indigo perlu dipanaskan pada suhu 40 darjah Celsius dan tidak boleh kurang atau lebih. Untuk mendapatkan fruktosa daripada pisang juga perlu pada suhu 40 darjah Celsius, jika tidak ia tidak akan mewujudkan pewarna yang bagus. Larutan itu kemudian ‘diperam’ adakalanya selama seminggu sebelum diaktifkan semula dengan fruktosa apabila hendak membuat shibori.
“Kemudian, kain yang telah diikat dicelup ke dalam larutan indigo selama beberapa minit sebelum ‘dicuci’ dengan air. Proses boleh dilakukan berulang kali untuk mendapatkan kepekatan warna yang diinginkan. Selepas itu ia dijemur.
“Shibori begitu unik kerana anda tidak tahu dengan pasti bagaimana bentuk corak yang akan terhasil. Untuk melakukan shibori, anda tidak boleh mempunyai ego. Anda perlu terbuka untuk menerima apa sahaja hasilnya,” ujarnya.
Siti Shaqira berkata, dia mula didedahkan mengenai seni ini semasa mengikuti pengajian di American University in Dubai (AUD), Emiriyah Arab Bersatu dalam bidang seni halus. Sejak tahun 2016, dia telah membimbing ramai orang membuat shibori. Siti Shaqira hanya menumpukan kepada usaha menganjurkan bengkel shibori bukan pengeluaran produk.
“Saya begitu tertarik dengan budaya Jepun. Kita lihat, bagaimana orang Jepun menghargai alam dan berterima kasih atas apa yang dianugerahkan. Mereka kreatif dalam memanfaatkan alam semula jadi. Kita seharusnya mencontohi mereka,” ujarnya.
Sifar pembaziran
Indigo atau Indigofera tinctoria merupakan tanaman seperti inai yang tumbuh di sekitar Asia dan Afrika namun ia hakikatnya sejenis tanaman yang sangat sukar dijaga kerana terlalu sensitif dengan cuaca. Siti Shaqira mendapatkan bekalan indigo dari India.
“Itulah sebabnya indigo harganya mahal. Indigo yang saya dapatkan dari India berharga RM500 sekilogram. Kalau musim monsun bertambah mahal kerana ia semakin sukar didapati,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengamal shibori, Masitah Babjan berkongsi bagaimana dia mempraktikkan teknik shibori dengan menggunakan pewarna daripada bahan alam yang lain seperti kulit rambutan, kulit bawang, bunga tahi ayam, kayu sepang dan banyak lagi.
“Saya telah didedahkan dengan shibori dalam satu bengkel di Kuala Lumpur pada 2017 yang banyak menggunakan indigo. Sejak itu, saya mula tertarik dengannya sehingga saya turut mengkaji jika teknik shibori boleh digunakan kepada tumbuhan-tumbuhan lain. Saya mencuba pelbagai tumbuhan. Sehingga kini saya sudah dapat menghasilkan beberapa warna,” kata wanita berusia 50-an itu.
Masitah berkata, meskipun ia mempunyai pelbagai cara lipatan atau ikatan untuk menghasilkan seni ini, namun ia masih suatu yang tidak boleh diduga kerana hasilnya boleh berubah-ubah sama ada dari segi konsistensi warnanya atau bentuknya.
“Ia misteri yang bukan mistik. Kita tidak mengawalnya, ia yang mengawal kita,” ujarnya.
Suatu hal yang membuat dirinya tertarik dengan shibori juga kerana ia merupakan seni yang bersifat mesra alam dan sifar pembaziran.
“Saya akan mengambil semua tanaman yang dibuang orang untuk eksperimen shibori. Pisang yang sudah busuk pun saya kutip.
“Bahan pewarna semula jadi ini dapat mengurangkan pencemaran alam. Untuk pengetahuan anda pewarna tiruan atau sintetik adalah penyumbang kedua terbesar kepada pencemaran alam selepas minyak. Itu sebabnya kini pihak seperti pengeluar jean terkemuka dunia juga berhasrat untuk beralih kepada indigo,” katanya.
Sisa pewarna indigo atau tumbuhan-tumbuhan itu boleh dilupuskan dengan baik, sekadar mencampurkannya bersama cuka sebelum menyiramnya kepada tanaman sebagai baja.
Dekorasi Aidilfitri
Kongsinya, kain yang dihiasi corak daripada teknik shibori ini boleh dijadikan selendang, sarung bantal, pakaian, alas meja, hiasan dinding, beg dan macam-macam lagi.
“Sempena Aidilfitri ini, ia juga boleh dijadikan sebagai idea dekorasi rumah. Gantungkannya di dinding atau hamparkannya di meja. Corak-coraknya yang unik pasti membuatkan suasana rumah jadi menarik,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta yang pernah mengikuti bengkel shibori indigo oleh Siti Shaqira, Mohammad Raffi Jefri, 22 berkata, dirinya sebelum ini tidak pernah mengetahui tentang seni itu sehingga perlu mencari di Internet maklumat mengenainya sebelum menghadiri bengkel.
Mohammad Raffi berkata, dia mengikuti bengkel kelolaan Siti Shaqira itu di Butterworth, Pulau Pinang sekitar 2017.
“Ia pengalaman yang menyeronokkan kerana kita dapat didedahkan dengan suatu kesenian dan kebudayaan Jepun. Saya masih menyimpan kain dengan corak shibori yang saya buat itu sebagai kenangan,” ujarnya.
Seseorang itu perlulah membuang egonya apabila membuat corak menggunakan teknik shibori kerana seni unik tradisi Jepun yang terhasil berasaskan pewarna semula jadi ini tidak menjanjikan kepastian tentang rupa hasilnya.











