KUALA LUMPUR 5 Mei – Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan sedan segmen C, Elantra yang menerima pelbagai peningkatan luaran dan dalaman berharga RM109,888 sebuah tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia.
Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, Elantra yang dipertingkat ditawarkan untuk satu varian sahaja iaitu 2.0L Eksekutif.
Katanya, Elantra kekal satu daripada model paling laris HSDM sejak diperkenalkan pada 2012 dan dengan pelancaran reka bentuk baharu, HSDM mahu mengukuhkan kehadirannya dalam segmen kereta penumpang bersaiz sederhana.
“Elantra sentiasa menjadi pesaing kuat dalam segmen C dengan kelebihan kompetitif seperti reka bentuk, prestasi enjin dan ciri yang mudah serta maju.
“Kami percaya reka bentuk revolusi baharu yang moden, sporty dan elegan akan menarik pasaran lebih luas meliputi pelbagai peringkat umur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Elantra direka semula itu mempunyai panjang keseluruhan 4,620 mm dan 70mm lebih panjang daripada versi sebelumnya manakala jarak roda tetap sama.
Naik taraf lain termasuk bumper belakang two-tone dan beberapa plat disusun semula yang kini bergerak lebih rendah untuk bumper.
Kabin juga disegarkan dengan reka bentuk kluster meter berkotak-kotak sporty, stereng pelbagai fungsi direka dengan butang kawalan, kulit kerusi mewah serba hitam dan soft touch material dashboard.
Varian Elantra 2.0L Eksekutif mengekalkan enjin yang sama dan penghantaran seperti versi sebelumnya.
Ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 152 PS pada 6,200 rpm, dan kuasa kilas 192 Nm pada 4,400 rpm dan dipasangkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan Hyundai.











