Elakkan mengantuk ketika memandu - Utusan Malaysia

Elakkan mengantuk ketika memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berita seorang pelajar maut dan 37 lagi cedera selepas bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Jalan Kuala Klawang-Seremban di Bukit Tangga Khamis lalu agak ‘mengganggu’ perasaan penulis.

Mangsa, Muhammad Firdaus Shahrul Azam,17, merupakan pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dan berasal dari Kuala Selangor. Allahyarham yang meninggal dunia di tempat kejadian sedang dalam perjalanan balik ke kampung halamannya sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Apa yang penulis ingin bicarakan berhubung kejadian itu ialah sikap sesetengah pemandu yang cuai dan terburu-buru hingga mengundang kecelakaan. Ini bukan perkara baharu sebaliknya isu ini adalah isu lama yang sering dibincangkan saban tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan berita yang disiarkan dalam Utusan Malaysia keesokannya, seorang saksi memaklumkan bahawa sebelum kejadian itu bas henti-henti berkenaan dipandu laju dan turut memotong beberapa kenderaaan lain. Saksi itu kemudian menjerit dan meminta pemandu bas itu memperlahankan kenderaannya. Apabila pemandu cuba masuk semula di laluan kiri, bas itu terbabas dan terbalik hingga menyebabkan Muhammad Firdaus maut dan mencederakan 37 penumpang yang lain.

Polis pasti akan menyiasat punca kemalangan tersebut tetapi maklumat yang diberikan oleh saksi berkenaan sedikit sebanyak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku. Realitinya, sikap pemandu yang memandu laju sering menjadi punca utama kemalangan dan lebih malang lagi jika membabitkan kematian.

Situasi ini bukan sahaja melibatkan pemandu pengangkutan awam malah pemandu kereta persendirian pun tidak terkecuali. Sebab itu apabila menjelang sahaja musim hari raya ada sahaja berita kemalangan kedengaran.

Kadang-kadang yang menjadi korban itu berpunca daripada kecuaian orang lain. Oleh situ, setiap pemandu sama ada pengangkutan awam mahupun pemandu kereta persendirian perlu lebih berhati-hati. Perlu cermat ketika memandu. Termasuk juga penunggang motosikal.

Jika hendak memotong pastikan tiada kenderaan di hadapan dan pastikan juga lokasi tersebut adalah jalan yang dibenarkan memotong. Gunakan cermin sisi dengan sebaik-baiknya sebelum memotong.

Umum mengetahui, apabila tiba musim perayaan jumlah kenderaan di jalan raya termasuk lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bertambah berkali ganda berbanding hari biasa. Justeru setiap pengguna jalan raya jangan sesekali melanggar peraturan dan had laju yang telah ditetapkan. Sebarang perlanggaran undang-undang dan had laju boleh membawa padah.

Perkara ini perlu selalu diingatkan kerana keberangkalian berlakunya kemalangan tatkala jumlah kenderaan meningkat berkali ganda adalah cukup besar terutama di lebuh raya. Apatah lagi jika melibatkan kenderaan awam seperti bas.

Biasanya bas akan membawa lebih kurang 30 hingga 40 penumpang dan sebarang kejadian yang tidak diingini pasti akan membabitkan banyak nyawa. Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab syarikat serta pemandu bas bagi memastikan mereka sentiasa memandu dengan cara yang selamat.

Seperkara lagi jangan teruskan pemanduan kalau mengantuk. Jika mengantuk cari tempat selamat dan tidur sebentar.

Memandu dalam keadaan mengantuk amat berbahaya. Andai kata si pemandu terlelap walau hanya sekadar lima saat kemungkinan boleh berlakunya kemalangan. Bayangkan disebabkan kemalangan itu ada ahli keluarga yang menjadi korban. Sudah tentu kita akan menyesal seumur hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini