KUALA LUMPUR 21 Mei – Untung bersih Duopharma Biotech Bhd. meningkat kepada RM14.47 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM10.65 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Hasil suku yang sama meningkat kepada RM150.39 juta berbanding RM13.26 juta tahun lepas sejajar dengan peningkatan permintaan dalam pasaran untuk tempoh semasa.
Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, keputusan itu mencerminkan peningkatan permintaan daripada sektor kesihatan awam dan swasta selain bantuan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan peruntukan bagi perkhidmatan kesihatan dalam Belanjawan 2019.
“Kami akan memberi tumpuan untuk mendalami dan meluaskan pengenalan produk khusus dalam strategi utama kumpulan pada masa depan bagi mewujudkan kumpulan produk khusus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jika tiada sebarang halangan, Duopharma dijangka mencatat keputusan yang memuaskan dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
Kumpulan itu belum mencadangkan sebarang dividen interim untuk suku semasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019. – BERNAMA











