PORT DICKSON 10 Mei – Dua wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut ditahan di dua premis urut di sini, semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, salah seorang daripada wanita itu ditahan dalam serbuan pada pukul 9.10 malam.
Katanya, polis turut memberkas seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang berasal dari Kedah kerana dipercayai menggajikan pekerja asing berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu bekerja di bahagian kaunter dan sebagai tukang urut di premis tersebut.
“Polis turut merampas sehelai tuala, sebotol cecair dipercayai minyak urut, satu lesen perniagaan, satu pasport Thailand, sebungkus tisu, sekeping kertas rekod urus niaga dan wang tunai RM150,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, polis kemudian menyerbu sebuah lagi pusat urut di sini dan menahan seorang wanita warga Thailand yang bekerja di kaunter dan sebagai tukang urut dan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun pada pukul 9.45 malam.
“Sehelai tuala, satu botol cecair disyaki minyak urut, satu keping lesen perniagaan, satu pasport Thailand, sekeping kertas kecil rekod urus niaga dan wang tunai RM200 dirampas di premis berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE











