LAHAD DATU 21 Mei – Dua sahabat maut selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit, di Kilometer 22, Jalan Lahad Datu-Tawau dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira pukul 10.20 malam itu, mangsa Irwan Boy,19, dan Norhafezah Mooti, 26, yang dari arah Tawau menuju ke Jalan Lahad Datu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, motosikal ditunggang Irwan dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan terbabas, sebelum masuk ke dalam parit.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada penunggang motosikal yang menunggang dalam keadaan laju ketika menuruni bukit sekali gus menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nasri, ketika kejadian kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar, selain penunggang tidak memiliki lesen serta cukai jalan motosikal turut tidak aktif sejak tahun 2017.- BERNAMA











