Dua rakan sekampung bina empayar Sejagat Global - Utusan Malaysia

Dua rakan sekampung bina empayar Sejagat Global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua rakan sekampung dari Sungai Besar, Selangor tidak menyangka pertemuan mereka dalam satu majlis ilmu di sebuah masjid di dalam bulan Ramadan lapan tahun lalu merupakan tanda awal mereka mengemudikan empayar Sejagat Global Sdn. Bhd. (Sejagat Global) sehingga berjaya.

Persefahaman, sentiasa bantu membantu dan berbincang secara profesional mengenai pe­rancangan dan hala tuju syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan kecantikan dan kesihatan itu membuatkan pengasasnya, Mohd. Zahid Mohd. Zaki. dan Abdullah Salleh Zubir akrab seperti dua orang adik beradik.

Malah lebih menarik usaha dua rakan niaga ini membantu membangunkan usahawan berjaya dalam kalangan para pengedarnya sehingga ada yang bergelar jutawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa yang sama, turut menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di Sungai Besar serta memberi balik kepada komuniti dengan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang sentiasa dianjurkan.

Menurut Mohd. Zahid, mengambil peluang daripada awal fasa perniagaan tanpa banyak persaingan telah membuahkan kejayaan buat syarikat pada tahun 2013.

Pengenalan produk penjagaan kesihatan khusus untuk wanita telah menaikkan nama Sejagat Global sekali gus membolehkan syarikat menjana pendapatan lumayan.

Jualan produk tersebut yang berjaya mencatat sehingga RM1.5 juta setahun menjadi penanda aras kepada syarikat untuk terus aktif menguasai segmen online dengan pelan perancangan me­lancarkan lebih banyak produk baharu di pasaran.

“Sebelum ini saya telah mengeluarkan lima produk penjagaan kesihatan dan kecantikan de­ngan pelaburan lebih daripada RM200,000 tetapi ia tidak menjadi, sehinggalah pelancaran pro­duk ke enam iaitu barangan khusus untuk penjagaan kesihatan dalaman wanita menjadi tular.

“Sehingga kini, kami memiliki kira-kira 80 jenis produk yang dapat memenuhi dan membantu menyelesaikan permasalahan kesihatan dan penjagaan kecantikan pelanggan daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Sejagat Global bersama pelajar tahfiz dari­pada Pusat Tahfiz Pancang Bedena, Sungai Besar, anak yatim, asnaf dan juga warga emas di daerah tersebut baru-baru ini.

Mohd. Zahid yang meme­gang jawatan pengarah Sejagat Global menerangkan, kelebihan syarikat dalam industri tersebut adalah kerana ia memiliki dua buah kilang pengeluaran peralatan asal (OEM) di Sungai Besar dengan nilai kos lebih daripada RM2.5 juta.

Kilang pertama dibuka pada tahun 2016 dan pada suku kedua tahun lalu, sebuah lagi kilang OEM dibuka untuk memenuhi kapasti pengeluaran dan permintaan pelanggan yang sema­kin bertambah.

Tambah beliau, syarikat kini terlibat dalam pengeluaran produk penjagaan kesihatan dan suplemen, kosmetik dan produk herba tradisional dengan pertumbuhan jualan antara 20 pe­ratus hingga 30 peratus setahun.

“Sebanyak 60 peratus daripada jualan syarikat disumbangkan daripada segmen produk penjagaan kesihatan dan suplemen,” ujarnya.

Berdasarkan sambutan baik yang diterima daripada pelanggan, syarikat kini agresif untuk mengeluarkan 100 produk baharu masing-masing daripada setiap kategori bagi memenuhi gaya hidup, permasalahan kesihatan masyarakat masa kini dan meningkatkan kualiti kesihatan diri pelanggan.

Menurut Mohd. Zahid, kira-kira 60 peratus daripada pelan pengeluaran produk baharu itu telah dilancarkan di pasaran pada tahun ini.

“Kami optimis ia akan me­nyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat meskipun tahun ini berdepan dengan kekangan kelembapan ekonomi,” ujarnya.

Melalui pengalaman, kemahiran dan bantuan pakar farmasi di­kilangnya yang menjalankan kajian dan pembangunan terhadap sesuatu produk baharu membuatkan strategi syarikat menjadi dan ternyata menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga mampu milik di pasaran.

Syarikat juga turut menempah kejayaan dengan membuka sebuah outlet jualannya di Brunei tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abdullah Saleh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sejagat Global optimis untuk mengubah syarikat bertaraf PKS yang memiliki kira-kira 250 kakitangan itu menjadi sebuah syarikat korporat yang berjaya dalam industri pengeluaran produk bumiputera bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Menurut beliau, meskipun sentiasa berada di belakang tabir kerana tidak mahu membina jenama berdasarkan populariti diri sendiri tetapi usaha mereka mengukuhkan jenama dengan pengeluaran produk berkualiti tinggi ternyata menjadi faktor penguat kepada kejayaan empayar perniagaan Sejagat Global.

“Kami mahu jenama syarikat lebih popular daripada populariti diri kami sebagai pengasas syarikat, kerana melalui kekuatan jenama ia akan terus bertahan lama dan bakal diingati oleh masyarakat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini