KUALA LUMPUR 27 Mei – Dua pengarah syarikat dan seorang pegawai pemasaran ditahan Jabatan Imigresen Malaysia kerana didapati terlibat menawarkan khidmat pendaftaran program pemutihan warga asing dalam satu operasi di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dijalankan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementeri Sumber Manusia dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri.
“Kita menjalankan operasi ke syarikat Agensi Pekerjaan OSM Sdn. Bhd. dan One Stop Manpower Sdn. Bhd. di Seri Kembangan yang didapati melakukan penipuan program pemutihan yang telah ditamatkan pada 30 Jun tahun lalu.
“Modus Operandi individu atau syarikat berkaitan adalah dengan menggunakan saluran media sosial untuk menarik majikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menawarkan sejumlah bayaran sebagai deposit untuk menyertai program pemutihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, pemeriksaan menemukan 29 pasport warga asing, resit-resit pendaftaran serta iklan-iklan di premis yang digunakan sindiket penipuan tersebut.
Jelasnya, seorang warga asing turut ditahan kerana didapati menyalahgunakan pas kerja di premis berkenaan.
“Kita percaya, aktiviti tersebut telah dijalankan sejak Februari tahun ini dan dua syarikat tersebut telah banyak mengaut keuntungan atas angin selepas mendaftar sejumlah besar PATI sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/63 dan majikan dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran sebaliknya perlu merujuk terus ke Imigresen bagi mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN ONLINE











