SEREMBAN – Dua pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang dari pusat pengajian mereka di Kampung Seri Repah, Tampin mendakwa mereka menginap di rumah seorang lelaki tidak dikenali di sebuah kondominium berhampiran Taman Batu Muda, Kuala Lumpur sejak 24 April lalu.
Bapa kepada salah seorang pelajar berkenaan, Mahadhir Mat Lazim, 43, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh anaknya Umair Fayed, 13, selepas dia menemui remaja itu di sebuah pusat komputer di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Jinjang di ibu negara kira-kira pukul 1 pagi ini.
“Saya menemuinya ketika sedang leka bermain komputer bersama seorang lagi rakannya berusia 14 tahun yang turut dilaporkan hilang. Mereka beritahu mereka menetap di sebuah kondominium milik seorang lelaki berusia 30-an sejak melarikan diri dari pusat tahfiz berkenaan.
“Anak saya bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Taman Batu Muda, manakala dua rakannya bekerja sebagai pemotong ayam di sebuah premis lain sejak tujuh hari lalu.
“Kedua-dua mereka tidak mengenali lelaki itu, tetapi seorang lagi pelajar tahfiz berusia 13 tahun yang turut dilaporkan hilang mengenalinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor pagi ini.
Mahadhir yang merupakan seorang jurutera teknologi maklumat berkata, dia menemui dua remaja itu selepas menerima maklumat orang awam yang memaklumkan melihat kedua-dua mereka di pusat komputer tersebut malam tadi.
Katanya, dua pelajar tahfiz tersebut kelihatan seperti dalam kebingungan apabila menyedari kehadirannya dalam pusat komputer berkenaan dan dia kemudian membawa mereka ke Balai Polis Jinjang bagi membuat laporan.
Jelas beliau, dia seterusnya membawa anaknya dan rakannya, Armand Zafran Musa pulang ke rumahnya dan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bagi memberi keterangan hari ini.
Menurutnya, dia tidak mengetahui tentang keadaan seorang lagi pelajar tahfiz berusia 13 tahun yang turut dilaporkan hilang, namun telah memaklumkan alamat kondominium berkenaan kepada ibunya.
“Berdasarkan cerita mereka, mereka meninggalkan pusat tahfiz kira-kira pukul 2 pagi pada 24 April lalu dan berjalan kaki sejauh enam kilometer ke Stesen Keretapi Pulau Sebang untuk ke ibu negara,” katanya. – K! ONLINE












