Dua lelaki menyamar sebagai penarik kereta ditahan - Utusan Malaysia

Dua lelaki menyamar sebagai penarik kereta ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mei – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba melakukan pemerasan terhadap seorang wanita kerana didakwa mempunyai tunggakan bayaran kereta dalam satu kejadian di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek ditahan di sekitar ibu negara semalam.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan pertama dibuat selepas pemandu trak tunda itu tampil menyerah diri pada pukul 2.20 petang, manakala rakannya pula ditahan di sebuah hotel pada pukul 11.50 malam.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, kita masih memburu seorang lagi individu dikenali sebagai Devan bagi membantu siasatan. Kita gesa agar individu terbabit segera menyerah diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Mazlan, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Pihak kita masih menyiasat sama ada suspek terbabit terlibat dalam kegiatan kongsi gelap atau sebaliknya,” jelasnya.

Semalam, satu klip video berdurasi dua minit tiga saat tular di laman sosial Facebook yang memaparkan tindakan seorang lelaki ditenangkan oleh anggota polis yang bertegas untuk menarik kereta milik mangsa.

Lelaki berkenaan bersama dua lagi rakannya mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran dengan pihak bank dan kelihatan sangat meyakinkan apabila bercakap dengan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.

Namun, wanita terbabit turut mendakwa bahawa dia tidak pernah menerima sebarang notis tunggakkan atau sebarang perintah pemilikan semua daripada pihak bank.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini