Dua lelaki ditahan bantu siasatan pemandu Grab hilang - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan bantu siasatan pemandu Grab hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei- Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing, Grab, Mohd. Hanafiee Jaafar, 27, yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.

Portal berita Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 24 tahun itu ditahan di kawasan parkir di 1Borneo, Kota Kinabalu kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, rekod daripada Grab menunjukkan kedua-dua suspek adalah penumpang terakhir yang menaiki kenderaan mangsa kira-kira pukul 4 pagi dari Kingfisher ke Tuaran iaitu pada hari mangsa dilaporkan hilang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan mengaku membunuh dan membuang mangsa di sebuah kawasan di Tuaran.

“Kita percaya ini adalah kes samun namun kita masih membuat siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Sementara itu, Omar berkata, pihaknya masih menjalankan pengecaman ke atas mayat mangsa bagi memastikan mangsa adalah pemandu Grab tersebut kerana ahli keluarganya tidak dapat mengenal pasti mayat yang sudah reput itu.

Jelas beliau, pihaknya akan mengambil cap jari mangsa dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Sejak kelmarin, tular di media sosial mengenai kehilangan Mohd. Hanafiee dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga dan rakannya sejak Jumaat lalu.

Ahad lalu, kereta dipercayai milik Mohd. Hanafiee ditemukan di kawasan tapak bazar Ramadan, Indah Permai, Sepanggar pada pukul 12.30 tengah malam dan pemeriksaan mendapati ada kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.

Semalam, satu mayat ditemukan oleh penduduk setempat di Kampung Shahbandar, Tuaran pada pukul 3.30 petang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini