JEREZ – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso percaya Alex Rins (Suzuki) dan Valentino Rossi (Yamaha) akan menjadi pencabar di sepanjang perlumbaan musim ini bagi perebutan gelaran dunia MotoGP selepas mempamerkan peningkatan prestasi luar biasa dalam tiga pusingan perlumbaan ketika ini.
Dovizioso berjaya merampas semula carta kedudukan pelumba MotoGP selepas mengambil peluang kegagalan Marc Marquez pada perlumbaan di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat. Ketika itu, Dovizioso menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dan Rins menjuarai saingan tersebut.
“Perbezaan yang kita boleh lihat pada musim ini adalah jentera setiap pasukan sangat kompetitif terutama pasukan Suzuki yang mempamerkan peningkatan yang luar biasa. Pada tahun lalu, mereka juga turut menaiki podium beberapa kali.
“Bagi saya, Rins menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dan semakin matang, sementara Rossi pula mula mendapatkan keserasian dengan baik bersama jenteranya. Jadi, saya rasa kedua-dua mereka akan menjadi pencabar terbaik di sepanjang musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dovizioso turut mencerahkan peluang untuk muncul juara jika mampu meraih kemenangan sekurang-kurang tiga atau empat perlumbaan.
“Kamu tidak boleh meraih gelaran dunia jika tidak berupaya untuk mencari kemenangan pada setiap perlumbaan musim ini. Jika sekadar podium kamu perlu mengharapkan nasib untuk meraih gelaran utama tersebut,” jelasnya.
Dovizioso menghuni tangga teratas keseluruhan carta kedudukan pelumba dengan 54 mata dan meninggalkan Marquez sembilan mata di belakang di tangga keempat. – Agensi











