DBhd akan raih RM15.9 juta menerusi tawaran saham persendirian - Utusan Malaysia

DBhd akan raih RM15.9 juta menerusi tawaran saham persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Pemaju hartanah dan kumpulan pengurusan fasiliti bersepadu, Damansara Realty Bhd. (DBhd) merancang untuk meraih sehingga RM15.9 juta menerusi tawaran saham persendirian untuk menyokong pengembangan perniagaan dan pemulihan aktiviti perlombongan bauksitnya.

DBhd dalam kenyataannya berkata, tawaran saham persendirian itu sehingga 10 peratus modal saham DBhd melibatkan terbitan sehingga 31.8 juta saham baharu.

DBhd telah melantik M&A Securities Sdn. Bhd. sebagai penasihat dan ejen tawaran saham bagi pelaksanaan tawaran saham persendirian yang dicadangkan itu, dijangka selesai pada Jun 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebahagian besar modal daripada lebih RM12.8 juta yang diraih itu akan membantu membiayai pengembangan segmen Pengurusan Fasiliti Bersepadu (IFM), termasuk perniagaan pengurusan parkir antarabangsa di Filipina.

DBhd ketika ini mempunyai nilai perolehan kontrak kumulatif sebanyak RM653.67 juta daripada bidaan pelbagai projek IFM.

Baki dana yang diraih itu, kata DBhd, akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penilaian kesan alam sekitar bagi melaksanakan semula aktiviti perlombongan bauksit oleh anak syarikatnya, Damansara Realty Pahang Sdn. Bhd. (DRP).

Ini berikutan langkah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asia yang menarik balik moratorium ke atas bauksit pada Mac tahun ini.

“Tawaran saham persendirian ini akan memberikan sumber tambahan kepada kami bagi meneruskan pelan strategik kami untuk meningkatkan pertumbuhan jangka panjang syarikat dan nilai kepada pemegang saham kami.

“Dengan aliran keuntungan kami yang mampan, kami percaya masanya tepat untuk melaksanakan semula perlombongan bauksit. Kami kini berada dalam kedudukan kukuh untuk merealisasikan potensi simpanan bauksit yang boleh menjadi penyumbang pendapatan berdaya maju untuk melengkapi perniagaan teras kami untuk tahun-tahun akan datang,” kata Pengarah Urusan kumpulan, Brian Iskandar Zulkarim.

DRP memiliki tanah seluas 202.34 hektar yang kaya dengan bauksit di Beserah dekat Kuantan, dengan simpanannya dianggarkan lebih lima juta tan metrik.

Kumpulan itu sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa untuk memulakan aktiviti perlombongan bauksit.

“Kami akan kekal mematuhi semua undang-undang dan peraturan sepertimana yang kami sentiasa lakukan sebelum ini dan akan mengemukakan kajian EIA yang diperlukan dan mana-mana proses yang ditetapkan undang-undang atau peraturan sebelum melaksanakannya,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini