Daripada pembaziran kepada manfaat masyarakat - Utusan Malaysia

Daripada pembaziran kepada manfaat masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETANG itu, Amiruddin Nordin, 43, ditemani dua anaknya berjalan menuju ke sebuah khemah yang terbina tidak jauh dari rumahnya yang terletak di Perumahan Awam Blok 26, Taman Melati di pinggir Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja tiba di sana, dirinya seakan-akan berada di pasar apabila mendengar suara riuh-rendah beberapa penduduk yang sedang beratur menerima bekalan bahan mentah sayur-sayuran seperti tomato, kangkung, terung, cili, kobis dan sebagainya.

Bekalan bahan mentah tersebut diterima penduduk menerusi program Kuala Lumpur Food Bank (KL Food Bank) yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Gerakan Perpaduan Wilayah Persekutuan (GPWP) untuk menolong isi rumah bagi meringankan beban membeli keperluan makanan harian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program ini sudah dijalankan hampir tiga tahun dan setiap Isnin, mereka akan datang memberi sumbangan bekalan bahan mentah kepada kami.

“Kebiasaannya, sebanyak satu hingga dua tan makanan dibekalkan dengan setiap isi rumah akan mendapat satu kilogram bahan mentah,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Menurut Amiruddin yang juga ahli jawatankuasa penduduk di situ, program tersebut memang memberi impak besar kepada mereka kerana ia dapat mengurangkan perbelanjaan membeli bahan mentah.

“Jumlah 1 kilogram bahan mentah bersamaan RM50 jika berbelanja di mana-mana pasar.

“Biarpun kualitinya tidak sesegar di pasar tetapi ia masih lagi elok dan boleh dimakan,” katanya.

Ramadan

Tambah Amiruddin, program berkonsepkan bank makanan yang dijalankan itu patut dilaksanakan oleh NGO-NGO apatah lagi pada bulan puasa ini yang pasti banyak berlaku pembaziran kerana rata-rata akan berbelanja mengikut nafsu.

“Pada bulan Ramadan tahun lalu, penduduk di sini juga ada menerima bantuan bekalan mentah menerusi program ini,” katanya.

Bank makanan atau food bank merupakan sebuah program pengumpulan barang-barang sumbangan iaitu bekalan makanan daripada pelbagai bentuk untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Biasanya ia diperolehi dari premis-premis menjual makanan yang masih elok, namun tidak dapat dihabiskan.

Maka, dengan wujudnya program sebegini, pembaziran akan dapat dikurangkan sekali gus memberi manfaat kepada mereka mereka yang tidak berkemampuan.

Semasa Ramadan, aktiviti itu dilihat lebih rancak dijalankan oleh NGO-NGO, malah dilakukan dalam skala yang besar seperti majlis berbuka puasa di Dataran Merdeka, sumbangan kepada anak-anak yatim selain program bersahur.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga menyatakan akan memperluaskan program bank makanan menerusi program Food Bank Malaysia dengan menjadikan bazar-bazar Ramadan sebagai pusat pengumpulan makanan untuk diserahkan ke kampus, surau atau masjid.

Usaha ini seiring dengan agama Islam yang menggalakkan penganutnya menghindari pembaziran selain melakukan kebajikan terutamanya pada bulan Ramadan kerana diberi ganjaran berlipat kali ganda.

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu merupakan saudara-saudara syaitan.” – Surah Al-Isra’ ayat 27.

Pengerusi GPWP, Muhammad Helmi Azhar berkata, apabila tiba bulan Ramadan yang banyak menuntut umat Islam melakukan kebajikan, pihak GPWP turut memberi tumpuan untuk mengagihkan bekalan bahan mentah kepada rumah-rumah anak yatim dan pusat tahfiz di sekitar Kuala Lumpur dan berhampiran.

“Pada tahun lepas, kami telah memberi sumbangan lebih 20 tan bahan mentah kepada pusat tahfiz dan rumah-rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setiap rumah anak yatim itu mendapat satu tan bahan mentah seperti sayur-sayuran, ikan, barang-barang kering dan sedikit buah-buahan,” katanya.

Tambah Muhammad Helmi, disebabkan mendapat sambutan menggalakkan pada tahun lalu, usaha itu diteruskan pada Ramadan ini dengan sasaran penerima yang sama iaitu anak-anak yatim dan pusat tahfiz.

Sumbangan

Ditanya mengenai pengurusan, Muhammad Helmi menjelaskan, KL Food Bank yang dijalankan mendapat kerjasama daripada Konsortium Pasar Borong Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami mendapat bekalan daripada Konsortium Pasar Borong Kuala Lumpur dan pihak DBKL pula menyediakan khemah, meja dan lori untuk mengangkut bekalan makanan tersebut.

“Kebiasaannya, kami memperolehi sebanyak dua hingga tiga tan sehari bahan mentah hasil daripada sumbangan peniaga-peniaga Konsortium Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, selama tiga tahun menjalankan program KL Food Bank, pihaknya telah berjaya memberi manfaat lebih 15,000 isi rumah yang kurang kemampuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Program yang dilihat sebagai serampang dua mata itu bukan sahaja memberi sinar dalam kehidupan rakyat, malah mampu menyelamatkan berjuta-juta tan makanan yang masih baik daripada dibazirkan begitu sahaja.

“Saya yakin, pihak kami mampu mengumpul bekalan makanan secukupnya yang disasarkan kerana pada bulan puasa banyak NGO dan badan-badan korporat yang akan memberi sumbangan,” ujarnya.

Universiti

Dalam pada itu, Muhammad Helmi menjelaskan, penganjuran KL Food Bank daripada pihaknya juga mendapat perhatian daripada Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Pihak kementerian bersetuju untuk mengkaji bagi mewujudkan kemudahan khas di pasar borong Selayang bagi memudahkan peniaga menyumbang kepada program bank makanan,” katanya.

Sementara itu, Khamis lalu, seramai 1,000 mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang kurang bekemampuan turut menerima sumbangan daripada program food bank yang dianjurkan pihak-pihak tertentu dengan dikendali Ahli Jawatankuasa Bank Makanan Kampus UM (UMCFB).

Timbalan Pengarah UMCFB, Umar Aiman berkata, program tersebut serba sedikit membantu mahasiswa UM dalam menempuhi bulan Ramadan.

Umar berkata, pihaknya juga bersiap sedia bekerjasama dengan mana-mana NGO yang ingin menghulurkan sumbangan sempena Ramadan ini.

“Kebiasaannya, memang banyak badan korporat atau NGO yang memberi sumbangan sempena Ramadan.

“Jadi peranan kami adalah membantu kelancaran program dari segi pengurusan dan kenal pasti mahasiswa yang layak,” ujarnya yang menyimpan stok bekalan tersebut di Kompleks Perdana Siswa, UM.

Antara yang diperolehi ialah lebihan makanan seperti roti dan bakeri dari pasar raya Mid Valley.

Seorang peniaga pasar yang juga merupakan penyumbang tetap KL Food Bank, Simon Chia, 42, akui program tersebut melatih dirinya untuk mengingati insan-insan kurang berkemampuan.

“Saya merasakan ia satu program yang sangat bagus kerana dapat mengelakkan daripada pembaziran.

“Sebelum ini lebihan jualan akan dibuang tetapi bila difikirkan, lebih elok saya memberi sumbangan kepada pihak yang sewajarnya. Jadi melalui program ini dapat membantu peniaga untuk melakukan kebajikan,” ujarnya yang telah berniaga hampir 20 tahun.

Program bank makanan bukan sahaja dapat membantu golongan kurang berkemampuan bahkan membawa semangat menghindari pembaziran yang sepatutnya diinsafi umat Islam di bulan Ramadan yang sinonim dengan pembaziran makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini