LONDON 21 Mei – Penyerang Chelsea, Olivier Giroud sedia menentang bekas kelabnya, Arsenal dalam aksi final Liga Europa di Baku pada 30 Mei ini.
Giroud yang terpaksa meninggalkan The Gunners ketika Pierre-Emerick Aubameyang tiba menyebabkan persaingan dalam kalangan penyerang menjadi sukar untuknya berada dalam kesebelasan utama.
“Saya pergi berjumpa bos dan memberitahunya kita boleh tukar taktikal, dengan meletakkan dua penyerang di depan.
“Tetapi Mesut Ozil biasa bermain dengan No 10 seperti penyerang kedua dan saya OK dengan perkara itu,” katanya yang telah bersama Arsenal selama lima tahun.
Keputusan menyertai The Blues dengan nilai perpindahan 18 juta pound (RM96 juta) adalah tepat buatnya apabila menjadi pilihan penyerang utama Maurizio Sarri sepanjang 18 bulan, sebelum ketibaan Gonzalo Higuain.
Pemain Perancis itu begitu tajam di Eropah dengan meledakkan 10 gol dan tiga bantuan menjadikannya penyerang ditakuti dalam saingan itu berbanding pemain Eintracht Frankfurt, Luka Jovic.
“Nampaknya ia sudah berbeza. Saya suka berdepan pasukan lama saya dan ia pasti menjadi perlawanan sukar dan boleh menjadi begitu menyakitkan jika ia tidak menyebelahi tetapi anda perlu mengenepikan perasaan dan memori.
“Saya menikmati detik manis saya di sana. Ia menjadi sebahagian besar karier saya, kelab pertama saya di England dan ia akan sentiasa menjadi sesuatu istimewa.
“Sekarang saya merasakan darah saya biru dan ia sama seperti pasukan negara saya, ia benar-benar sesuai dengan saya dan mahu menamatkan saingan dengan merangkul satu trofi serta muncul penjaring terbanyak di kejohanan itu,” katanya. – AGENSI











