Dana SRC: Had kelayakan hanya RM1 bilion - Saksi - Utusan Malaysia

Dana SRC: Had kelayakan hanya RM1 bilion – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa permohonan syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC) bagi pinjaman wang berjumlah RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) hanya boleh diluluskan dengan had kelayakan RM1 bilion.

Bekas Penolong Naib Presiden KWAP Bahagian Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat, 39, berkata, had kelayakan pinjaman itu adalah berdasarkan kepada dokumen Kertas  Panel Pelaburan yang disediakannya bagi proses pembiayaan kepada SRC.

“Dalam proses pinjaman ini, KWAP hanya boleh meluluskan pinjaman dengan had kelayakan sehingga RM1 bilion sahaja,” katanya. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Amirul Imran berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh berhubung had kelayakan pinjaman KWAP pada hari ke-14 perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Terdahulu, saksi itu turut menolak cadangan Harvirdenjit bahawa pendiriannya terhadap had kelayakan pinjaman RM1 bilion itu berubah selepas beberapa tahun KWAP memberikan pinjaman tambahan kepada SRC pada tahun 2012.

Dalam prosiding itu, saksi itu turut menjelaskan, beliau telah menerima emel daripada Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Faisal yang menyatakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dapat memberikan dokumen berkenaan kerana projek hartanah masih di peringkat perancangan utama.

Berikutan emel berkenaan, saksi itu memberitahu, beliau diarahkan ketuanya, Ahmad Norhisham Hassan untuk menyediakan kertas cadangan bagi kelulusan Panel Pelaburan untuk pinjaman RM1 bilion sahaja.

Pada perbicaraan sebelum ini, saksi ke-29 itu memberitahu mahkamah, beliau mengemukakan emel kepada Nik Faisal Ariff pada 30 Jun 2011.

Email itu bertujuan bagi mendapatkan beberapa dokumen tambahan seperti butiran komprehensif pelaburan sedia ada 1MDB bagi pinjaman pertama bernilai RM3.95 bilion untuk SRC.

Perbicaraan bersambung lagi. 

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan. 

Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza. 

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini