JEMPOL 3 Mei – Polis menahan sembilan lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.59 gram dalam serbuan di kebun kelapa sawit di Felda Pasoh 3, Batu Kikir di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, serbuan di lokasi dikenali sebagai ‘Pot Cilan’ itu dibuat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah pada pukul 12.35 malam.
“Ketika intipan dibuat terdapat seorang lelaki sedang duduk dalam keadaan mencurigakan dan di hadapannya sebuah beg kecil berwarna hitam.
“Suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas terjatuh dan berlaku pergelutan.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik dan enam tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 3.46 gram di dalam beg tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, polis kemudian menahan lapan lagi lelaki yang memasuki kawasan itu dengan menunggang motosikal dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah antara pukul 12.55 malam hingga 1.30 pagi.
“Polis turut merampas satu tiub straw berisi dadah disyaki heroin seberat kira-kira 0.13 gram di dalam poket baju salah seorang lelaki berkenaan.
“Lokasi itu pernah diserbu polis pada 11 Februari lalu dan seramai lima penagih dadah ditahan. Bagaimanapun kegiatan tersebut kemudian kembali aktif di lokasi berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, dadah yang dirampas dianggarkan berharga RM125 dan ujian air kencing mendapati kesemua suspek berumur antara 29 hingga 50 tahun positif dadah.
Katanya, kesemua suspek ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











