KUALA LUMPUR 19 Mei – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok bebas cukai dengan merampas 3,500 bungkus rokok yang ditinggalkan di tepi pantai di Tawau, Sabah, malam tadi.
Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, atas maklumat orang ramai, serbuan kira-kira pukul 10.40 malam yang diketuai Deputi Superintenden Jaffri Othman itu telah melakukan pemeriksaan terhadap di lokasi kejadian disyaki digunakan oleh penyeludup untuk pemunggahan barang-barang seludup.
Katanya, ketika tiba di lokasi, beberapa individu atas sebuah bot laju dikesan sedang menurunkan bungkusan hitam disyaki rokok seludup namun apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot berkenaan bertindak mengundurkan kenderaannya lalu melarikan diri dengan memecut menuju ke arah laut.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 14 bungkusan hitam yang mengandungi sejumlah 3,500 bungkus (350 karton) rokok seludup pelbagai jenama ditemukan.
“Antara barangan yang dirampas ialah rokok jenama Djarum Hitam iaitu 400 bungkus, Premium Gold (500 bungkus), Astro Merah (1,000 bungkus), Premium Hitam (1,000 bungkus) dan Menara Hitam (600 bungkus),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hazani berkata, kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Menurutnya, Esscom sentiasa komited dalam usaha membanteras serta mengekang aktiviti penyeludupan dan isu kemasukan pendatang asing tanpa izin di kawasan Zon Selamat Selamat Timur Sabah (Esszone) dengan sentiasa meningkatkan rondaan dan kehadiran pihak berkuasa di lokasi sasaran penjayah rentas sempadan.
“Sekiranya orang ramai mengesan aktiviti yang mencurigakan ataupun melanggar undang-undang negara, sila laporkan kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 untuk tindakan selanjutnya”, katanya.-UTUSAN ONLINE











