KUDAT 15 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1,410 liter minyak petrol bernilai RM2,932.80 yang diisi dalam 47 tong satu gelen di perairan Tanjung Layak-Layak, Pitas, dekat sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 11.30 pagi itu, pemeriksaan telah dilakukan ke atas sebuah bot pam di kawasan perairan itu hasil maklumat dan risikan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pam itu dinaiki dua lelaki warga asing berumur lingkungan 22 dan 35 tahun tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.
“Juragan bot pam itu gagal menunjukkan surat atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkaitan minyak petrol yang dibawa dipercayai untuk dihantar ke negara jiran.
“Hasil tangkapan itu, sebanyak 47 tong berisi minyak petrol turut dirampas selain menyita sebuah pam bot, dua unit enjin pam, dua batang shaft dan dua batang kipas bot dimana jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,232.80,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah, Mohamad Pajeri, kedua-dua suspek serta barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-BERNAMA











