Cradle Fund: Rayuan ikat jamin Samirah ditolak - Utusan Malaysia

Cradle Fund: Rayuan ikat jamin Samirah ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan balu kepada Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cradle Fund Sdn. Bhd., Samirah Muzaffar untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan kes itu bermula September nanti.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Kamardin Hashim memutuskan demikian selepas berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Berikutan itu, Samirah, 44, kini masih lagi dalam tahanan reman di penjara bersabit dakwaan membunuh suaminya, Nazrin Hassan di kediaman mereka di Mutiara Damansara, Jun tahun lalu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam hujahannya mempersoalkan keistimewaan kes Samirah dengan kes-kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan lain untuk membolehkan dia diikat jamin.

Katanya, kebanyakan perayu yang menghadapi pertuduhan membunuh sebelum ini memberikan alasan sama seperti Samirah iaitu perlu menjaga anak namun tidak berjaya dalam permohonan masing-masing.

“Tertuduh lain daripada kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan juga mempunyai anak, maka apa istimewanya perayu untuk diikat jamin.

“Lagipun anak-anaknya masih mempunyai bapa kandung yang boleh menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding sebelum ini berhujah anak guamnya akan mematuhi apa juga syarat seperti berkurung dalam rumah 24 jam sehari dan melapor diri di balai polis setiap hari sebagai sebahagian daripada syarat jaminan sebelum perbicaraan.

Pada 12 Mac lalu, Samirah dan dua remaja berusia 13 dan 16 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh Nazrin di kediaman mereka di Mutiara Damansara dekat Petaling Jaya, antara pukul 11.30 malam 13 Jun hingga 4 pagi, 14 Jun tahun lalu. 

Bagaimanapun, kedua-dua remaja itu dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin. 

Mahkamah turut menetapkan 21 Jun depan sebagai pengurusan kes, manakala 3 September nanti sebagai tarikh perbicaraan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini