CEO Genting terima imbuhan paling tinggi - Utusan Malaysia

CEO Genting terima imbuhan paling tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mei – Genting Bhd. berada dalam kedudukan teratas 20 syarikat tersenarai yang memberi imbuhan tertinggi kepada ketua pegawai eksekutifnya (CEO) berjumlah RM168 juta setahun dengan pasaran modal syarikat RM35.44 bilion, menurut laporan Corporate Governance Monitor 2019 (CG Monitor) oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Dalam senarai syarikat berke­naan, Genting Malaysia Bhd. berada dalam kedudukan ke­dua dengan bayaran imbuhan RM80.61 juta dan pasaran mo­dal syarikat, RM33.43 bilion.

Ini menjadikan, Tan Sri Lim Kok Thay muncul sebagai CEO yang menerima bayaran tertinggi tahun lalu menerusi kedua-dua syarikat tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di tangga ketiga, ialah CEO Sapura Energy Bhd. yang menerima bayaran RM71.92 juta tahun lalu. Sapura Energy mempunyai pasaran modal berjumlah RM4.52 bilion.

Pada Julai tahun lalu, isu imbuhan gaji Tan Sri Shahril Shamsuddin menimbulkan kontroversi apabila disoal pada AGM Sapura Energy mengenai bayaran gajinya yang tinggi iaitu RM71.92 juta bagi tahun kewa­ngan berakhir 31 Januari 2018 dan RM84.24 juta bagi tahun kewangan 2017.

Turut berada dalam senarai itu ialah Syarikat milik kerajaan (GLC), BIMB Holdings Bhd. berada di tangga ke-19 dengan CEO menerima RM8.17 tahun lalu. BIMB melalui perubahan jawatan apabila kontrak Pe­ngarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat tamat pada 8 Jun 2017 dan kemudiannya melantik Khairul Kamarudin berkuat kuasa 14 Jun 2017.

Telekom Malaysia Bhd. pula di tangga ke-20 dengan CEO menerima bayaran RM7.98 juta tahun lalu. Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly menyertai TM pada Mei 2017 selepas menggantikan Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa yang bersara pada 30 April 2017.

Laporan tersebut yang dikeluarkan SC hari ini membuat analisis terhadap imbuhan yang diterima CEO bagi 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia. Pasaran modal syarikat-syarikat berkenaan setakat 31 Disember 2018 berjumlah RM1.44 trilion yang mewakili 80 peratus daripada jumlah ekuiti pasaran modal Malaysia.

Bayaran imbuhan itu meliputi jumlah gaji, bonus, faedah dan pelbagai emolumen yang diterima dengan merujuk kepada CEO atau pengarah urusan atau individu yang menguruskan pengurusan harian syarikat.

Selain melihat imbuhan CEO, laporan itu juga mengetengahkan pemerhatian mengenai pengarah bebas dengan tempoh khidmat yang panjang (dasar dan amalan) dan kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah.

Berdasarkan laporan itu, daripada 100 syarikat yang dipilih, hanya 84 syarikat menyediakan data imbuhan CEO. Daripada jumlah itu, 25 syarikat dikenal pasti sebagai milik keluarga, 28 adalah syarikat milik kerajaan dan 31 adalah syarikat yang tersenarai.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada nisbah pendapatan pengurusan utama melibatkan syarikat tersenarai sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2019 yang akan diumumkan dalam edisi 2020 laporan tersebut.

“Selain itu, SC juga akan mengkaji semula langkah-langkah pencegahan rasuah melibatkan syarikat tersenarai yang merupakan sebahagian daripada usaha SC dalam menyokong pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan,” katanya dalam majlis pelancaran CG Monitor di sini hari ini yang disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

Menurut beliau, antara 36 amalan terbaik yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Malaysia (MCCG), sebanyak 27 amalan mempunyai tahap penerimaan lebih daripada 70 peratus.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini