LONDON 6 Mei – Penjaga gol Arsenal, Petr Cech mahu mengakhiri kariernya bersama Arsenal dengan merangkul kejuaraan Liga Europa.
Menyertai The Gunners pada tahun 2015 daripada Chelsea dan bergelar 20 tahun sebagai pemain bola sepak profesional Cech mahu persaraannya berakhir dengan kejayaan.
Cech antara penjaga gol terbaik di dunia menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak tujuh kali selain menjaga gawang tanpa dibolosi sebanyak 202 kali daripada 443 penampilan.
Sehingga kini dia masih memegang rekod EPL apabila menjaga gawang tanpa dibolosi dalam satu musim selepas beraksi 24 perlawanan (1,024 minit) pada musim 2004-05.
Cech juga membuat 124 penampilan bersama skuad kebangsaannya, Republik Czech.
Sepanjang bersama Arsenal, penjaga gol berusia 37 tahun itu berjaya meraih Piala FA dan Piala Perisai Komuniti, malah berada di landasan terbaik untuk memenangi kejuaraan Liga Europa musim ini selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Valencia dalam aksi separuh akhir pertama.
“Saya harus mengatakan saya sangat berterima kasih kepada kelab dan penyokong Arsenal kerana menerima saya walaupun berasal daripada kelab pencabar (Chelsea). Anda perlu bekerja keras dan memberi segalanya apabila mewakili mana-mana pasukan.
“Pasti saya mengharapkan pertandingan terakhir iaitu berada di Baku. Saya ingin beraksi di final dan menjulang trofi terakhir dan saya rasa Arsenal berhak memenanginya,” katanya. – AGENSI











