KUALA TERENGGANU 29 Mei – Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan termasuk merancang menyerang Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya, Selangor dan membunuh empat individu berprofil tinggi.
Mahadi Mamat, 34, bagaimanapun hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.
Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan dengan menggunakan telefon bimbit jenama Alcatel di sebuah rumah di Kampung Teris di Hulu Terengganu antara pukul 9.48 malam hingga 5.45 petang pada 7 Januari hingga 5 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman dan membunuh empat individu melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa telah bersetuju memberikan latihan penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan ‘Sejati Sejiwa’ dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas manakala pertuduhan keempat, memberi arahan melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan WhatsApp tersebut.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan kelima dan keenam iaitu mendapatkan enam butir pipe bom, sepucuk pistol semi automatik CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis Luger 9 milimeter untuk melaksanakan perbuatan pengganas itu.
Bagi pertuduhan ketujuh, Mahadi didakwa merekrut beberapa individu lain untuk menyertai kumpulan Whatsapp ‘Sejati Sejiwa’ bagi melakukan perbuatan keganasan tersebut di samping pertuduhan kelapan, memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 130F(a), Seksyen 130F(b), Seksyen 130JD (1), Seksyen 130E, Seksyen 130JB(1)(a).
Dalam laporan akhbar baru-baru ini, Mahadi yang didakwa ketua sel ‘Wolf Pack’ pengganas Daesh mempunyai perancangan melancarkan operasi pembunuhan itu bagi menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu.
Tertuduh juga didakwa sebagai dalang yang merancang untuk melakukan serangan berskala besar terhadap tempat-tempat ibadat agama Kristian, Hindu, Buddha dan pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang. – UTUSAN ONLINE











