KUALA LUMPUR 27 Mei – Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini berikutan kebimbangan mengenai perang perdagangan AS-Sino telah berkurangan susulan laporan Presiden AS Donald Trump akan mengurangkan sekatan terhadap Huawei Technologies Inc sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang lebih besar dengan Beijing.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama, naik 3.26 mata kepada 1,601.58 selepas dibuka tinggi 6.12 mata kepada 1,604.44.
Indeks ditutup rendah 3.55 mata pada Jumaat lepas kepada 1,598.32, bagaimanapun ia merupakan kemerosotan yang paling kecil berbanding bursa utama lain di seluruh dunia pada minggu lepas.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 123 berbanding 71, dengan 128 kaunter tidak berubah, 1,620 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 87.32 juta bernilai RM39.36 juta.
Peniaga berkata, perkembangan terkini mengenai perselisihan perdagangan antara AS dan China telah meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur. – BERNAMA











