KUALA LUMPUR 29 Mei – Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada hari ini berbanding peningkatan semalam susulan aktiviti pengambilan untung serta sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.
Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.39 mata kepada 1,612.18 selepas menokok 0.11 mata pada 1,614.68 sewaktu dagangan dibuka.
Indeks itu ditutup pada paras harian tertinggi semalam apabila naik 13.22 mata kepada 1,614.57.
Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 134 berbanding 104 manakala 126 kaunter tidak berubah, 1,588 tidak diniagakan dan 60 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 78.28 juta bernilai RM33.57 juta.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikannya berkata, indeks global semalaman lemah akibat isu perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang berlanjutan dan turut menyukarkan FBM KLCI untuk mengekalkan aliran peningkatannya.
“Kami berpendapat bahawa faktor penyusutan itu akan berulang dan menyebabkan saham-saham berkaitan indeks susut.
“Namun, tindakan pelabur menarik diri daripada pasaran mungkin tidak lagi ketara berikutan tekanan jualan yang semakin berkurangan,” kata firma itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, AllianceDBS Research pula berpendapat kalangan peserta pasaran jangka pendek menjangkakan pasaran itu akan meningkat dengan meminimumkan impak faktor luaran.
“Mengambil kira prestasi yang dicatatkan bursa sewaktu ditutup semalam, kami melihat rintangan segera adalah pada paras 1,617,” katanya.
Berikutan itu, FBM KLCI berkemungkinan akan didagangkan melebihi paras 1,614.57 pada hari ini. – BERNAMA











