Bubur kacang percuma untuk juadah buka puasa - Utusan Malaysia

Bubur kacang percuma untuk juadah buka puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK 21 Mei – Kebiasaannya setiap kali tiba Ramadan, pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai menjadi satu aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid atau surau sebagai juadah berbuka puasa.

Namun berlainan pula bagi peniaga Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan, di sini apabila bubur kacang hijau menjadi menu agihan juadah kepada orang ramai dan pengunjung bazar tersebut.

Penyelaras program, Arman Manan berkata, idea untuk memasak bubur kacang bagi menggantikan bubur lambuk sebagaimana kebiasaannya timbul ketika bersembang bersama rakan-rakan kumpulan WhatsApp Warung Wak Endan (WWE).

Memuatkan artikel berkaitan…
PENGUNJUNG yang membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan, Ta
PENGUNJUNG yang membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan, Tangkak, Johor hari ini diberikan bubur kacang percuma. – UTUSAN ONLINE

Katanya, cadangan membuat bubur kacang untuk diagihkan kepada orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan di kampung itu mendapat sokongan rakan yang lain.

“Kami ingin membuat sedikit kelainan dengan membuat bubur kacang hijau bukan bubur lambuk seperti kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan jawatankuasa masjid atau surau untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Kerja menyediakan bubur kacang dilakukan secara gotong-royong antara peniaga bazar dan ahli kumpulan WWE daripada memasak hinggalah mengagihkan kepada penerima,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bubur kacang kepada pengunjung di Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir di sini hari ini.

BUBUR kacang yang sudah siap dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi Bazar Ram
BUBUR kacang yang sudah siap dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Tangkak, Johor hari ini. – UTUSAN ONLINE

Arman berkata, sebanyak 150 bekas bubur kacang berjaya diagihkan kepada orang ramai yang singgah membeli juadah berbuka puasa di bazar itu.

Katanya, sempena Ramadan peniaga dan ahli kumpulan WWE mengumpulkan sumbangan dalam kalangan mereka bagi menjayakan program agihan bubur kacang kepada orang ramai.

“Bazar Ramadan yang ditempatkan di Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan ini menjual pelbagai juadah berbuka puasa antaranya kuih-muih, nasi ambeng, ikan bakar, lemang dan pelbagai jenis air minuman.

“Alhamdulillah, selain memudahkan penduduk kampung ini mendapatkan juadah berbuka puasa, ia juga menjadi singgahan orang ramai yang melalui jalan Sagil-Bukit Gambir dan kampung sekitarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini