LONDON 7 Mei – Persoalan sama ada legenda, Iker Casillas akan menggantung but timbul selepas bekas penjaga gol Sepanyol tidak dapat memastikan masa depannya dalam karier bola sepak.
Penjaga gol Porto itu dikejarkan ke hospital pada 1 Mei lalu selepas diserang sakit jantung ketika menjalani latihan bersama pasukan dan hari ini Casillas dibenarkan pulang ke rumah.
“Saya tidak tahu dengan masa depan sendiri namun apa yang penting saya masih hidup hingga hari ini. Saya berasa lebih sihat dan saya akan berehat untuk beberapa minggu atau bulan.
“Perkara seperti ini boleh berlaku dalam kehidupan sesiapa sahaja dan ia menimpa diri saya. Sukar untuk saya bercakap mengenainya namun saya amat bersyukur kerana masih bernasib baik.
“Sokongan yang diterima sejak beberapa hari lalu membuatkan saya disayangi. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada hospital, ketua perkhidmatan perubatan Porto, Doktor Nelson, kardiologi, Joao Carlos Silca dan semua orang di Porto yang memastikan saya tiba di hospital dengan segera untuk mengurangkan kesan kesakitan yang saya alami.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menunjukkan tanda sokongan di media sosial dengan membuat rakaman video dan menghantar mesej.
“Saya berasa lebih baik. Saya perlukan rehat yang mencukupi. Jujurnya saya tidak tahu berapa lama dan saya tidak peduli. Apa yang penting saya masih hidup,” katanya. – AGENSI











