Bimbang solat, puasa di akademi tentera AS - Utusan Malaysia

Bimbang solat, puasa di akademi tentera AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mei – Sukar melaksanakan ibadah dan memenuhi tuntutan agama Islam sewaktu menjalani latihan yang tidak menentu menjadi satu daripada cabaran dan kebimbangan pelajar alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terpilih ke akademi tentera Amerika Syarikat (AS), Muhammad Aniq Hilman Haslimi.

Muhammad Aniq Hilman, 19, berkata, latihan fizikal yang intensif dan jadual kelas yang padat menyebabkan dirinya bimbang untuk menghadapinya apatah lagi setiap kali memasuki bulan Ramadan.

Bagaimanapun dia yang bakal mengikuti pengajian di Akademi Naval AS (USNA) di Annapolis, Maryland bertekad untuk melaksanakan rukun Islam ketiga itu dengan sebaik-baiknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia yang merupakan bekas pelajar MRSM Baling memberitahu, pengalaman senior-senior beragama Islam yang pernah mengikuti pengajian di akademi tentera di AS akan dikutip dan dijadikan pengajaran.

“Saya tidak berapa bimbang mengenai makanan sangat. Tetapi saya bimbang mengenai praktis agama saya ketika di sana kerana latihan fizikal tetap dijalankan seperti biasa walaupun pada bulan puasa.

“Saya yakin saya dapat menghadapinya dan akan merujuk dengan senior-senior yang pernah mengikuti pengajian di mana-mana akademi tentera di sana,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Duta Besar AS ke Malaysia di Jalan Langgak Golf di sini hari ini.

Muhammad Aniq yang berasal dari Wangsa Maju serta dua lagi rakan alumni MRSM, Grace Sian Ern Hui dari Ampang, Selangor dan Mateshan Varma Subramaniam dari Ipoh, Perak menerima surat tawaran rasmi pengajian ke tiga akademi tentera daripada Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir hari ini.

Mereka ditemani ahli keluarga masing-masing dan daripada wakil Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta pegawai-pegawai tinggi dari Kementerian Pertahanan.

Mateshan Varma, 19, lepasan MRSM Parit dan juga Maktab Tentera Diraja Malaysia akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera Darat AS (USMA) atau dikenali West Point di New York dan Grace, 19, juga lepasan MRSM Parit di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado.

Grace memberitahu, cabaran utamanya adalah untuk berhadapan dengan cuaca empat musim ketika berada di sana.

Katanya, dia amat bimbang untuk menghadapi musim sejuk.

“Saya tidak suka cuaca terlalu sejuk. Tetapi saya tetap kena mengharunginya juga. Di Malaysia cuma ada dua musim sahaja,” ujarnya.

Mateshan Varma pula menjelaskan, kebimbangannya adalah mengenai saiz tubuh badan rakyat Malaysia berbanding orang AS yang bertubuh besar.

Katanya, perbezaan itu dibimbangi mewujudkan ketidaksamarataan layanan dalam kalangan rakan-rakan atau masyarakat di sana.

“Walaupun bertubuh kecil, kami akan pastikan untuk melakukannya dengan terbaik dan tidak menjadi mangsa diskriminasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini