RAMADAN tiba lagi dan untuk tahun ketiga berturut-turut sejak mula beroperasi, Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) menawarkan sajian Bufet Istimewa ‘SHUKOOR Kembali Lagi’. Beraneka pilihan lazat yang unik disediakan dengan harga yang berpatutan di dewan yang baharu dengan persekitaran yang lebih luas dan selesa.
Antara tarikan istimewa dan popular Bufet Istimewa ‘SHUKOOR Kembali Lagi’ ialah pilihan Smoked BBQ & Grill, BBQ Beef Rib, Brazillian Black Mussels dan Ayam Pasu. Ayam, daging dan makanan laut dipanggang secara berterusan dan tetamu boleh mengambil terus makanan dari dapur panggang.
Tarikan unik Bufet Istimewa ‘SHUKOOR Kembali Lagi’ ialah daging shuwa, dengan kambing dan pelbagai daging yang dipanggang di dalam tanah dalam ketuhar shuwa, satu gaya masakan dari Semenanjung Arab. Kambing atau daging akan disalut dengan ramuan tebal rempah-ratus berbeza sebelum dibalut dan dimasukkan ke dalam lubang bawah tanah yang telah dimasukkan bara yang sangat panas.
Apabila kambing atau daging yang dibalut ini diangkat keluar, terhasillah satu rasa yang istimewa di mana kesemua bahan yang dipanggang bercampur rasanya di dalam kambing atau daging yang dipanggang dengan satu lapisan rempah tebal yang garing terbentuk pada daging.
Sudah tentu mana-mana bufet tidak lengkap tanpa pilihan istimewa masakan kampung. Bufet Istimewa ‘SHUKOOR Kembali Lagi’ KSGCC menyediakan menu berbeza setiap hari iaitu pilihan masakan kampung seperti gulai kawah Kelantan, ayam masak merah, daging salai masak lemak cili api, rendang udang Minang, daging dendeng Perak, ayam kuzi, daging kurma, ayam mendhi, ikan patin masak lemak tempoyak dan banyak lagi. Juga ada pilihan kerabu dan ulam-ulaman serta pelbagai jenis sambal seperti sambal belacan, sambal tempoyak, sambal ijo, sambal kelapa dan pelbagai lagi.
Bufet kali ini juga akan memperkenalkan beberapa menu baru seperti kari kambing bakar, nasi ayam, masakan dapur Korea termasuk kimchi, bibimbap dan spicy yangnyeom-cikin, pepes ayam bakar, lidah goreng panggang dan coconut shake.
Bufet Istimewa ‘SHUKOOR Kembali Lagi’ KSGCC juga menyediakan masakan gerai dengan pilihan makanan kegemaran rakyat Malaysia, termasuk gerai mi rebus dan gerai prata.











