KUALA LUMPUR 6 Mei – Ramai yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk mempelajari selok belok dagangan saham namun ada yang kecewa apabila ilmu yang ditimba itu tidak membawa pulangan seperti mana yang diharapkan.
Persoalan yang subjektif ini ada jawapannya apabila Zuraida Mohd. Zakaria atau lebih popular dengan panggilan Cikgu Saham berkata, ia mempunyai pro dan kontra.
“Pro apaibla pelajar yang membayar ribuan ringgit itu faham dengan apa yang diajarkan dan ilmu saham yang ditimba itu boleh diaplikasi sampai bila-bila.
“Ia menjadi kontra apabila pelajar tidak faham dengan jelas apa pencerahan yang disampaikan oleh seseorang itu sehingga akhirnya, pelajar itu masih tidak dapat memahirkan diri dengan teknik yang diajar.

“Bahkan ada yang sampai ke tahap mengalami kerugian yang mana kerugian itu hadir dalam dua aspek iaitu rugi dalam yuran pembelajaran yang telah dibelanjakan dan satu lagi kerugian ialah kerugian dalam pelaburan dagangan saham,” kata Cikgu Saham ketika hadir sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues di Utusan Online, hari ini.
Mornink Blues disiarkan secara live di Facebook Utusan Online dan aplikasi Daily Motion setiap hari Isnin sehingga Khamis, berdurasi satu jam, 8 pagi sehingga 9 pagi dan tetamu yang diundang ke Mornink Blues tampil 30 minit terakhir.
Minggu ini adalah penampilan kali kedua Cikgu Saham yang mana pada dua minggu lepas, Cikgu Saham tampil dengan membawakan pengisian kuiz spontan yang mengkehendaki para penonton Mornink Blues menjawa tiga soalan berkenaan dengan pasaran saham dalam tempoh Mornink Blues bersiaran secara langsung.
Tiga soalan yang dilontarkan perlu dijawab secara tepat dan pantas dan penonton yang menang, mendapat hadiah berupa sebiji kek premium Red Velvet tajaan The Baker’s Place, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan tajaan J&J Cafe Shah Alam, Selangor yang menawarkan Chicken Tora-Tora untuk dua orang.
Berbalik kepada topik Mornink Blues pagi tadi, ada yang mengatakan, mereka tidak sanggup berterusan mengeluarkan duit yang banyak untuk menimba ilmu saham.
“Dalam situasi di atas, pelajar perlu tahu modul apakah yang disediakan oleh tenaga pengajar dan latar belakang tenaga pengajar berkenaan.
“Jika informasi itu tidak sampai kepada pelajar, maka risiko pelajar terpaksa mengeluarkan jumlah yang besar semata-mata untuk memahirkan diri dalam pelaburan atau perdagangan saham adalah lebih luas,” katanya yang simpati terhadap mereka yang ‘tekena’ dengan situasi sedemikian.
Cikgu Saham berkata, menuntut ilmu biarlah sampai ke Negeri China tetapi yang penting di sini, kenali siapakah tenaga pengajar agar pelaburan yang dibuat untuk menimba ilmu saham, membawa pulangan sepertimana yang diharapkan. – UTUSAN ONLINE











