Bekas pegawai khas kepada bekas menteri dibebaskan
 - Utusan Malaysia

Bekas pegawai khas kepada bekas menteri dibebaskan


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Mei- Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan seorang bekas pegawai khas kepada bekas menteri yang ditahan berhubung kes mengatur projek pembekalan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta dua tahun lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan lelaki bergelar Datuk itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya turut diserahkan kepada suruhanjaya itu.

Siasatan SPRM terhadap suspek berumur 50 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lelaki berkenaan direman selama tiga hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes berkenaan, beliau ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin lalu.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan dipercayai menerima rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta pada 2017.

Selain itu katanya, SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal peralatan pesawat di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan bekas pegawai khas kepada bekas menteri itu.

Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa lalu mengalu-alukan siasatan ke atas beliau, ahli keluarga atau mana-mana bekas pegawai jika didapati melaggar undang-undang, namun jangan menganiaya jika mereka tidak bersalah.

Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan, pendiriannya itu bukan perkara baharu tetapi konsisten sejak dahulu lagi, malah sudah dimaklumkan kepada agensi penguatkuasaan bahawa jika mereka bersalah, jalankan siasatan dan dakwa di mahkamah jika terlibat.

“Isu mengenai bekas pegawai saya, saya konsisten dari dahulu lagi sama ada pegawai saya ke, mantan pegawai saya ke, keluarga saya ke atau diri saya sendiri…kita tidak boleh meletakkan diri melebihi undang-undang.

“Jadi kalau salah tetap salah, kalau langgar undang-undang dakwa mereka tapi jangan cuba mengaitkan ia dengan isu politik atau dengan diri saya kerana saya punya pendirian konsisten dari dahulu lagi…cuma jangan dianiaya mana-mana pihak yang tidak berdosa,” katanya-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini