KUALA LUMPUR 11 Mei – Bazar Ramadan Kinrara 5, Puchong, Selangor menjadi lokasi tumpuan ramai setiap kali Ramadan kerana 160 peniaga gerai di situ mengutamakan aspek kebersihan persekitaran dan makanan yang dijual.
Tinjauan Utusan Malaysia pada Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2019 semalam mendapati, pengunjung sangat menyenangi dan selesa melihat persekitaran tersusun dan bersih bazar berkenaan.
Pengarah Jabatan Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, pihaknya menekankan aspek pematuhan pelesenan, kesihatan, kebersihan, keceriaan dan kreativiti gerai kepada peniaga yang berniaga di 16 lokasi bazar MPSJ sejak 2014.
“Bazar ini antara yang menjadi pilihan pengunjung kerana peniaga amat mementingkan kebersihan dan inisiatif hijau seperti tidak menggunakan polisterina, kesedaran kitar semula minyak masak dan pengurangan penggunaan beg plastik,” katanya kepada pemberita sebelum mengedarkan 250 beg kain (Non Woven Bag) kepada pengunjung bazar itu.
Selain itu, Muhammad Azli berkata, MPSJ juga meneruskan anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan MPSJ bagi menggalakkan peniaga menjayakan konsep Bazar Ramadan Mampan yang mana 15 peniaga akan dipilih sebagai pemenang.
“Mereka yang terpilih akan menerima insentif berjumlah RM300, pengecualian bayaran permit bazar Ramadan bagi tahun 2020, sijil penghargaan, hamper barangan dan yang paling istimewa, memilih petak berniaga di mana-mana lokasi bazar Ramadan MPSJ.
“Kami harap ganjaran dan imbuhan seperti ini dapat memberi menjadikan peniaga lebih bersemangat untuk berniaga dan mematuhi peraturan yang telah disediakan oleh MPSJ,” katanya. – UTUSAN ONLINE











