PORT DICKSON 6 Mei – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dijumpai di dalam sebuah kotak di hadapan sebuah rumah di Lukut dekat sini hari ini.
Bayi itu ditemukan oleh salah seorang penghuni rumah tersebut iaitu suri rumah berusia 44 tahun semasa dia mahu membuang sampah kira-kira pukul 10.15 pagi.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, wanita itu kemudian membawa bayi berkenaan ke Balai Polis Lukut bagi tindakan lanjut.
“Ketika kejadian suri rumah itu keluar rumah untuk membuang sampah. Dia kemudian mendapati sebuah kotak diletakkan di hadapan pagar rumahnya.
“Apabila dia memeriksa kotak itu terdapat bayi yang masih bertali pusat dibalut dengan kain pelikat selain uri ditemukan dalam kotak itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, polis menghubungi Klinik Kesihatan Lukut dan pemeriksaan oleh pegawai kesihatan mendapati bayi itu masih bernafas, tetapi keadaannya tidak begitu stabil.
Tambah beliau, pihak klinik tersebut telah membawa bayi itu ke Hospital Port Dickson dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Polis meminta orang ramai atau mana-mana klinik yang didatangi wanita untuk mendapatkan rawatan berkenaan kelahiran menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











