Batu Pahat catat kemalangan maut jalan raya tertinggi - Utusan Malaysia

Batu Pahat catat kemalangan maut jalan raya tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 28 Mei – Daerah Batu Pahat, Johor mencatatkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di negara ini berdasarkan statistik yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi tahun 2015 hingga 2017.

Mengikut statistik tersebut, sebanyak 554 kes kemalangan maut dicatatkan di Batu Pahat diikuti Ipoh (402), Kajang (347), Johor Bahru Selatan (315), Kluang (296), Klang Selatan (270), Manjung (261), Kuala Selangor (260) dan Hilir Perak (232).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara lokasi yang menjadi penyumbang utama kepada kadar kemalangan maut di Batu Pahat adalah jalan antara Ayer Hitam ke Batu Pahat melalui Jalan Kluang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Salah satu daerah yang hampir setiap tahun menduduki senarai lima (kemalangan maut) tertinggi adalah Batu Pahat. Ini daerah yang kita tahu kadar kemalangannya tinggi walaupun penduduk dan kenderaannya tidak sebanyak di Kuala Lumpur.

“Batu Pahat ini kita akan buat secara mikro. Kita akan turun ke peringkat daerah dan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya untuk melihat puncanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Balik Kampung Yamaha Ke-21 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, sebanyak 65 peratus daripada kemalangan maut jalan raya membabitkan pengguna motosikal dan misi pihaknya adalah untuk mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan.

“Ramai penunggang motosikal lalai memeriksa keadaan motosikal termasuk lampu belakang. Kita minta penunggang motosikal periksa motosikal mereka supaya berada dalam keadaan baik bagi memastikan mereka selamat di jalan raya,” katanya.

Beliau memaklumkan kerajaan belum membuat keputusan menaikkan had usia layak memiliki lesen menunggang motosikal kerana yang paling penting adalah peranan ibu bapa memastikan anak mereka yang tiada lesen tidak menunggang motosikal.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak mengakui jalan antara Ayer Hitam ke Batu Pahat melalui Jalan Kluang telah dinaik taraf sejak beberapa tahun lalu, namun banyak kemalangan dicatatkan di laluan berkenaan.

Katanya, kajian mendapati jalan raya yang lurus, besar dan panjang seperti di laluan berkenaan adalah berbahaya kerana pemandu cenderung untuk memecut selain faktor kenderaan membelok tanpa memberi isyarat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×