Batal segera import sisa plastik ke negara ini - Utusan Malaysia

Batal segera import sisa plastik ke negara ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 11 Mei – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan mengharamkan pengimportan sisa plastik ke negara ini demi menjaga alam sekitar dan kesihatan orang ramai.

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan perlu menghentikan pengeluaran permit bagi tujuan tersebut dengan segera.

Beliau turut merujuk kejadian pencemaran bau busuk akibat pembakaran sisa plastik di Sungai Petani, Kedah seperti dilaporkan akhbar semalam dan berharap perkara itu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, ekoran kejadian itu, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan Perindustrian Cendana, Sungai Petani terjejas kehidupan mereka kerana pengusaha kilang terbabit melakukan pembakaran terbuka sisa buangan itu berhampiran kediaman mereka.

“Kita berasa kesal walaupun masalah ini sudah lama berlaku namun dibiarkan sehingga keadaan itu menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk di kawasan ini seperti sakit kepala, pening dan sering mengalami gangguan ketika tidur.

“Kita bimbang dan percaya jika kegiatan pembakaran sisa buangan itu berterusan, alam sekitar di kawasan tersebut akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

“Malah pelbagai penyakit berbahaya juga akan dihidapi oleh penduduk di sini akibat pelepasan gas toksik yang berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, CAP menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang di dapati bersalah melakukan perbuatan berdasarkan berdasarkan undang-undang yang ada supaya kejadian sama tidak berulang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini