SAUDARA PENGARANG,
SEJAK kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia mengeluh dengan kos hidup yang terus meningkat. Apa tidaknya, lihatlah kepada harga minyak dan harga barangan lain yang rata-rata semakin meningkat.
Sebagai rakyat, kita tidak berkuasa untuk menurunkan harga barang, Namun sudah tentu kita boleh berusaha untuk meningkatkan pendapatan agar dapat menampung kos sara hidup selain mengekalkan gaya hidup yang selesa.
Ramai yang berusaha untuk mendapatkan pendapatan kedua selain bekerja tetap. Ia bukanlah suatu kesalahan asalkan tidak mengganggu tugas hakiki. Terdapat pelbagai peluang untuk menjana pendapatan.
Anda boleh menjalankan perniagaan barang terpakai. Sekiranya anda ada buku lama yang tidak dibaca atau pakaian yang masih cantik tetapi tidak muat, ia bolehlah dijual menggunakan platform atas talian seperti Shopee atau Lelong.
Ini juga dapat mengelakkan barang itu daripada disimpan selain mengelak pembaziran.Selain itu, anda boleh jadikan hobi atau sesuatu yang diminati sebagai sumber pendapatan.
Sebagai contoh minat memasak, bertukang, menyanyi, mengaji, menata rias dan sebagainya boleh dijadikan idea untuk memulakan perniagaan produk dan perkhidmatan.
Anda juga boleh membuat promosi produk dan perkhidmatan melalui media sosial. Selain daripada itu, anda juga boleh berjinak-jinak dengan pendapatan pasif iaitu pelaburan.
Sebagai contoh, anda bolehlah melabur dalam saham di Bursa Malaysia, unit amanah dan sebagainya. Pun begitu, sebelum anda membuat keputusan untuk melabur, anda perlu mendapatkan maklumat demi membuat pilihan yang terbaik.
Akhir sekali, sekiranya anda mempunyai rumah kedua, anda boleh menyewakan hartanah anda. Kereta juga boleh digunakan sebagai platform dalam menyediakan perkhidmatan kereta sewa ataupun Grab di kawasan sekitar rumah anda.
Ini semua merupakan alat bagi menambah pendapatan. Sebenarnya terdapat banyak alternatif dan peluang menjana pendapatan boleh diterokai.
Kita perlulah sentiasa mencari dan menggunakan peluang untuk menjana pendapatan agar terus bebas daripada belenggu hutang.
SITI AISYAH ADAM
Pensyarah Kewangan Kolej Yayasan Pelajaran Johor











