PRIHATIN. Seramai 27 orang fasilitator daripada Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan program Bakti Siswa bersama anak-anak yatim di Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim Miskin (Payasum), Sungai Udang, Melaka, baru-baru ini.
Pengarah Program, Nur Nabilla Mazlan berkata, program tersebut diadakan untuk memupuk hubungan silaturahim serta menerapkan rasa simpati dan kasih sayang sesama insan.
“Program yang bertujuan untuk mendekatkan diri mahasiswa UTeM dengan anak-anak yatim ini melibatkan pelajar Payasum yang berumur antara 8 hingga 17 tahun,” katanya.
Program itu turut dihadiri Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) merangkap Penasihat Permata UTeM, Profesor Madya Dr. Wan Hasrulnizzam Wan Mahmood yang turut memberikan motivasi kepada para peserta tentang kepentingan berkasih sayang sesama insan.











