Baja padi belum diedar sukarkan pesawah - Utusan Malaysia

Baja padi belum diedar sukarkan pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 7 Mei – Kira-kira 68,000 orang pesawah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini dan Perlis, bimbang apabila bekalan baja bagi musim pertama tahun ini masih belum diedarkan.

Dakwa mereka, sekiranya mengikut jadual, baja-baja tersebut sepatutnya sudah diedarkan kepada para pesawah selepas proses bancian selesai dilaksanakan pada Februari dan Mac lalu.

CHE ANI MAT ZAIN
CHE ANI MAT ZAIN 

Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, kelewatan mengedarkan baja itu dikhuatiri akan menjejaskan tumbesaran anak padi yang perlu dibaja dalam tempoh tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai petani di kawasan MADA sudah menjalankan kerja-kerja menabur benih padi di bendang masing-masing ketika ini. Keluasan sawah padi itu mencecah lebih 100,000 hektar.

“Justeru, jika mengikut jadual, anak padi berusia 15 hari perlu diletakkan baja untuk kali pertama diikuti selepas 30 hari dan 45 hari untuk peringkat baja seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lebih mengecewakan kata Che Ani, terdapat juga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang masih belum menjalankan bancian baja di kawasan masing-masing.

“Kalau bancian pun belum dibuat, maka bertambah lambatlah para petani akan dapat bekalan baja yang akhirnya mengganggu tumbesaran anak padi selain menjejaskan pendapatan golongan itu,” katanya.

Menurut beliau, kelewatan itu perlu dipandang serius oleh pihak MADA sekiranya mereka berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 10 tan metrik bagi setiap hektar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Isu ini bukan sahaja akan mengurangkan pendapatan petani, malah turut sama menjejaskan stok beras negara yang bergantung kira-kira 40 peratus daripada petani di kawasan MADA.

“Saya berharap MADA dan agensi-agensi terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini kerana saya dimaklumkan ada kawasan yang tarikh banciannya hanya akan bermula pada minggu hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini