Badan sihat, disayangi pasangan - Utusan Malaysia

Badan sihat, disayangi pasangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menurut Ustaz Fitness, tiada ikutan lebih baik atau acuan tepat melainkan Nabi Muhammad SAW dalam soal penampilan diri dan penjagaan kesihatan.

Tambahnya, umum mengetahui kenaikan berat badan, penampilan tidak bermaya dan kurang kecergasan badan sebahagian besarnya disumbangkan melalui cara pemakanan.

“Sebab itu Nabi menegaskan supaya tidak berlebih-lebihan semasa makan. Sebagaimana sabda baginda maksudnya: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Memuatkan artikel berkaitan…
MOHD. ARIF AFIFI MOHAMAD SUKRI (kiri) bersama selebriti dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri.
MOHD. ARIF AFIFI MOHAMAD SUKRI (kiri) bersama selebriti dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri.

“Dari segi aktiviti fizikal, diberitakan bahawa Nabi lebih gemar berjalan kaki seperti ke masjid atau pasar dan langkah baginda lebih cepat berbanding orang lain.

“Perbuatan itu bukan menunjukkan bahawa Rasulullah seorang yang tergesa-gesa, tetapi sebagai cara baginda mengeluarkan peluh atau melakukan aktiviti fizikal,” jelasnya.

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau mengatakan: “Tidak pernah aku melihat orang lebih tampan selain Rasulullah. Matahari bersinar di wajahnya. Dan aku tidak pernah melihat orang yang lebih cepat dalam berjalan selain Rasulullah. Seakan-akan bumi dilipat bagi beliau, bahkan kami harus bersungguh-sungguh (jika berjalan bersama beliau) dan beliau bukan orang yang tidak acuh”. – Riwayat Tirmizi

Tambah Ustaz Fitness yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuluddin pengkhususan Tafsir dan Hadis dari Institut Agama Islam Sulthan Thaha Saifuddin, Jambi, Indonesia, melakukan aktiviti fizikal atau bersukan penting kerana menyumbang kepada tubuh badan yang sihat dan kuat.

Sabda Rasulullah maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah.” – Riwayat Muslim

Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa membentuk tubuh badan yang sihat dan kuat dituntut dalam Islam kerana selain tampil lebih menarik, ia juga membolehkan seseorang melakukan kerja-kerja bermanfaat untuk diri sendiri atau orang lain.

LAKUKAN AKTIVITI FIZIKAL BERSAMA

Tidak dinafikan dengan menjaga penampilan diri, ikatan antara suami dan isteri akan menjadi lebih kuat sekali gus menyumbang kepada kehidupan rumah tangga lebih bahagia.

Ustaz Fitness yang juga jurulatih kecergasan kebangsaan berkata, menyedari kepentingan itu, suami isteri sepatutnya mengambil peluang untuk melakukan aktiviti fizikal bersama walaupun hanya bermula di rumah.

“Walaupun dengan hanya melakukan kerja rumah seperti menyapu lantai, mencuci tingkap atau membasuh pinggan-mangkuk, kalori dalam badan masih dapat dibakar.

“Aktiviti ini bukan sahaja dapat mengindahkan lagi rumah tangga, malah dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Usuluddin al-Quran dan Hadis, Universiti Malaya.

Selain itu katanya, pasangan suami isteri juga perlu perbanyakkan berjalan kaki bersama terutama mereka yang baru hendak memulakan proses mengurangkan berat badan.

Dalam sehari, luangkan masa selama 15 hingga 30 minit untuk berjalan kaki di taman rekreasi atau pusat beli-belah.

Bagi individu yang mempunyai masalah lutut, mereka boleh melakukan aktiviti fizikal berbasikal bersama pasangan kerana ia tidak memberikan tekanan pada sendi dan tulang rawan di kaki.

Aktiviti berenang juga mampu membakar kalori dengan banyak. Hanya dalam tempoh sejam melakukan aktiviti itu, sebanyak 500 kalori akan dibakar.

“Selain aktiviti fizikal, perkara lain yang lebih utama adalah pada penjagaan makan. Makan di rumah lebih baik berbanding di luar.

“Selain menjimatkan wang, ia juga mampu mengeratkan hubungan suami isteri dan merupakan mekanisme baik untuk mula menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

“Contohnya si suami menyediakan senarai bahan makanan yang sihat seperti rendah gula dan lemak serta tinggi serat, isteri pula menyiapkannya untuk 
dimakan bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini