LONDON 4 Mei – Selain membantu Arsenal beraksi di pentas Liga Juara-Juara, Pierre-Emerick Aubameyang tanpa berselindung memberitahu dia mahu memenangi anugerah Kasut Emas pada musim pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Aubameyang telah meledak 19 gol dalam saingna liga dan dia berpeluang untuk menambah bilangan tersebut dalam dua baki perlawanan menentang Brighton dan Burnley, dia ketinggalan satu gol di belakang Sadio Mane dan Sergio Aguero dan dua gol untuk mengatasi Mohamed Salah.
“Apabila anda menjadi penyerang, ia sangat bermakna. Apabila anda memenanginya, satu kepuasan. Jika anda mahukan yang terbaik, anda perlu memenangi anugerah Kasut Emas.
“Perebutan yang sangat sengit. Ada ramai penyerang berbakat dalam EPL dan mereka konsisten sepanjang musim. Mereka menjaringkan gol dan hanya penyerang terbaik sahaja menjaringkan gol sehingga hujung musim dan itu yang menjadikan mereka istimewa.
“Bagaimanapun, saya yakin dan saya tahu saya boleh melakukannya. Tiada masalah kerana ada dua aksi liga jadi peluang saya masih belum tertutup dan tidak salah untuk mencuba,” katanya.
Dua tahun lalu, Aubameyang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Robert Lewandowski dalam perebutan anugerah Kasut Emas di Jerman apabila dia meledak 31 gol dalam Bundesliga. – AGENSI











