LONDON 6 Mei – Negara atau kelab perlu dikenakan hukuman denda jutaan pound, tolak mata atau disingkirkan daripada kejohanan jika penyokong mereka melakukan kutukan berbaur perkauman, kata Viv Anderson.
Anderson merupakan pemain kulit hitam pertama beraksi untuk England menempelak keputusan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang mengenakan denda 20,000 euro (RM 108,000) selepas penyokong mereka melakukan kutukan berbaur perkauman terhadap pemain England iaitu Raheem Sterling dan Danny Rose ketika kelayakan Euro 2020, Mac lalu.
Anderson merupakan tonggak Notthingham Forest ketika membantu kelab itu menjulang Liga Juara-Juara dua kali malah pernah beraksi bersama Manchester United dan Arsenal berkata perkauman tidak sepatutnya berada dalam komuniti bola sepak.
“Jika dikenakan denda jutaan pound, tolak mata atau singkirkan pasukan, persatuan bola sepak akan sedar dan kita perlu melakukan sesuatu terhadap isu ini.
“Mengenakan dendan 20,000 kepada Montenegro secara tidak langsung memberitahu ‘kami menerima apa yang mereka lakukan, buat sahaja’.
“Perkara seperti ini perlu dipandang serius. Jika anda denda mereka jutaan pound, mengenakan larangan dan menolak mata, kita dapat lihat bagaimana terkesannya sesebuah pasukan itu,” kata Anderson.
Katanya lagi, tindakan pemain meninggalkan padang sebagai tanda protes tidak mencukup sebaliknya pengurusan pasukan perlu bertindak jika pemain mereka dibuli secara perkauman.
“Pasukan atau pemain tidak boleh meninggalkan padang. Ia perlu datang daripada pengurusan tertinggi,” katanya lagi. – AFP











