KUALA LANGAT – Seramai 100 anak-anak yatim, asnaf dan mualaf Orang Asli teruja apabila dibawa membeli-belah bagi menyambut Aidilfitri oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pasar raya Tesco Extra di Jenjarom di sini hari ini.
Kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun dari Sekolah Rendah Agama Telok Panglima Garang dan Kafa Integrasi Kampung Melayu Pulau Carey itu gembira apabila berpeluang memilih sendiri pakaian dan kelengkapan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Mereka diraikan oleh NGO dari Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) dan Persatuan Asnaf, Usahawan, Wanita dan Ibu Tunggal Selangor (Pantas) serta Majlis Daerah Kuala Langat.
Menurut Pengerusi MPP Zon 4 Majlis Daerah Kuala Langat, Siti Nor Eaini Nasuka, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memberi kesedaran kepada yang berkemampuan untuk berkongsi rezeki bersama anak-anak istimewa tersebut.
“Ia juga antara salah satu program yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu anak-anak ini dan diharap ia akan menjadi program yang berpanjangan dari masa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, penaung Pantas, Shelliza Saharudin berkata, program itu akan dapat merapatkan jurang antara golongan memerlukan agar tidak tersisih melalui program kebajikan.
Selain membeli-belah tersebut, kanak-kanak berkenaan turut diraikan dalam sesi iftar yang disumbangkan oleh sebuah restoran makanan segera. – K! ONLINE











