KUALA LUMPUR 1 Mei – Aifa Azman mahu merasai nikmat kemenangan sulung ke atas pemain senior, S. Sivasangari apabila kedua-dua pemain itu bertemu pada pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Indvidu Asia ke-20 di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil di sini, esok.
Pemain remaja negara berusia 17 tahun itu, yang juga juara Remaja Terbuka Britain 2018 menyifatkan kemenangan ke atas Sivasangari akan menjadi pencapaian besar buat dirinya.
Anak kelahiran Kedah itu berkata, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan jika dia mempunyai kekuatan mental, fokus dan mengurangkan kesilapan sepanjang pertarungan tersebut.
“Ia sangat penting buat saya kerana lawan saya itu adalah pemain pilihan dan saya tidak pernah mengalahkan dia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, Aifa mengakui Sivasangari yang merangkul pingat perak pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, berada di tahap yang lebih tinggi dan menjangkakan satu pertembungan yang sengit.
“Saya tidak tahu mengenai permainannya sekarang…mungkin ada perbezaan sedikit sebab dia berlatih di Amerika Syarikat, “ katanya,
Pada pusingan kedua hari ini, Aifa mengalahkan pemain Iran, Fereshteh Egtedari 11-3, 11-7, 11-7 manakala Sivasangari hanya mengambil masa 11 minit untuk mengatasi pemain Thailand, Pranghatai Phonrattana 11-1, 11-1, 11-1. – BERNAMA











