BANTING 27 Mei – Tindakan seorang lelaki yang melakukan ugutan dan pemerasan kepada pengusaha lori membawa padah apabila dia ditahan di sebuah kawasan di daerah ini di sini semalam.
Suspek terbabit dikenali sebagai Abang Long Balang merupakan bekas anggota polis yang dibuang kerja itu ditahan bersama tiga lagi individu lain yang kesemuanya berusia 32 hingga 42 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tangkapan yang dibuat berikutan susulan laporan polis dibuat oleh pemandu lori mengatakan dia telah ditahan sekumpulan lelaki pada 17 Mei lalu.
Menurutnya, majikan kepada pekerja terbabit telah berjumpa dengan Abang Long Balang yang merupakan ketua kumpulan tersebut, namun telah diugut untuk dicederakan serta diminta membayar wang setiap bulan sebagai wang perlindungan.
“Malah, pengadu juga telah dipaksa masuk kedalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda untuk berjumpa dengan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Lan Taro. Dia telah diugut membayar sejumlah RM18,000 dan jika gagal kumpulan ini akan membakar dan memecahkan semua lori dan rakan kongsi pengadu.
“Hasil siasatan, kita telah membuat tangkapan terhadap empat lelaki di sebuah kawasan termasuk suspek utama, Abang Long Balang dan Lan Taro.
“Kita juga mendapati Abang Long Balang merupakan anggota polis yang telah dibuang kerja dan kesemua mereka mengaku daripada kumpulan kongsi gelap 77 dan 30,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fadzil, pihaknya kini telah mengenal pasti beberapa lagi suspek, namun meminta kesemua mereka hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat bagi membantu siasatan.
“Kita juga meminta supaya mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa tampil untuk membuat laporan polis,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











