LONDON 1 Mei – Situasi kurang menyenangkan berlaku sebelum perlawanan separuh akhir pertama di antara Tottenham dan Ajax dengan tiga pegawai polis mengalami kecederaan ekoran kekecohan yang dicetuskan penyokong kedua-dua pasukan.
Penyokong kedua-dua pasukan juga dirakam kamera sedang bergaduh selepas tamat perlawanan.
Scotland Yard memberitahu, sembilan daripada penyokong ditahan selepas tamat perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu.
Jurucakap polis Metropolitan berkata, sekumpulan penyokong bertindak melontar barang di luar Stadium Tottenham sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan).
Polis terpaksa meleraikan pergaduhan itu dan kemudiannya menahan empat orang dengan tiga pegawai polis mengalami kecederaan tidak serius manakala lima lagi ditahan sebelum perlawanan dimulakan.
Keadaan kemudiannya menjadi lebih buruk selepas tamat perlawanan selepas penyokong kedua-dua pasukan bertembung di kawasan N17, Haringey yang menyaksikan kon, botol kaca dan beberapa barangan lain dilontar.-AGENSI











