PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin Tok Bali Wilayah Tiga Kelantan merampas 70 botol (350 liter) daun ketum bernilai RM2,100 yang siap diproses dalam serbuan di sebuah rumah kediaman di Tok Bali, di sini petang semalam.
Timbalan Komandernya, Superintendan Azmi Ahmad berkata, dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis yang diketuai oleh Asisten Superintendan Nik Ali Nik Mat pada pukul 4.30 petang itu, 40 botol yang diisi dalam bekas botol air mineral ditemui di ruang hadapan rumah manakala selebihnya dalam peti ais.
“Seorang lelaki berumur 41 tahun yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine yang pada ketika itu berada di dalam rumah berkenaan turut ditahan,” katanya pada satu sidang media di Markas Taktikal Polis Marin Tok Bali di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, dan menurutnya bekalan daun ketum yang disyaki diperolehi dari Kedah atau Perlis itu diproses dalam rumah berkenaan untuk edaran kepada penagih dadah di sekitar daerah Semerak. – Bernama











