SUNGAI BULOH – Sebanyak 58 kes melibatkan jenayah samun dan curi dilaporkan di kawasan stesen Transit Aliran Massa (MRT) di sekitar Selangor bermula Januari hingga April lalu.
Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pecahan tersebut melibatkan stesen MRT di enam daerah di sekitar Selangor.
“Pecahan kes adalah berikut iaitu Sungai Buloh (11 kes), Petaling Jaya (15), Gombak (4), Serdang (7), Kajang (19) dan Subang Jaya (2).
“Namun begitu, situasi jenayah di daerah ini adalah selamat dan terkawal,” katanya pada sidang akhbar selepas Program ‘Meet and Greet’ dan pelancaran Rondaan Cegah Jenayah di Stesen MRT Sungai Buloh di sini hari ini.
Noor Azam menambah, pihak polis bersama pihak Prasarana akan meningkatkan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan stesen MRT dengan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota tugas am balai-balai berhampiran.
“Sebanyak empat anggota polis termasuk polis bantuan ditempatkan di setiap Stesen MRT di daerah ini dalam dua syif pada setiap hari.
“Polis juga mengedarkan 400 Borang Maklum Balas Balik Kampung di kawasan Stesen MRT Surian dan Sungai Buloh sebagai inisiatif awal mengingatkan orang ramai mengisi borang ini untuk makluman polis memantau kediaman mereka agar jenayah pecah rumah dapat dielakkan,” ujarnya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan maklumat kepada polis melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) menggunakan telefon bimbit.
Ketika ditanya berkaitan perkembangan kes seorang pengurus acara ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman di tingkat tujuh pangsapuri Residensi Bistari, Ukay Perdana, Ampang pada Ahad lalu, beliau memaklumkan bahawa pihak polis telah mengenal pasti suspek utama kes tersebut selain mendapat petunjuk positif dalam proses siasatan. – K! ONLINE











