SUNGAI PETANI 4 Mei – Seramai 54 orang golongan asnaf di sekitar Taman Ria Jaya di sini, dipilih untuk menerima pelbagai barangan makanan sempena Program Sentuhan Qaseh Ramadan 2019 anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Serbaguna Masjid Taman Ria Jaya, hari ini.
Pegawai AIM Blok Amanjaya, Shariza Hartini Shadan berkata, kesemua barangan bernilai RM5,000 itu diagih-agihkan kepada mereka yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin.
Kata beliau, sumbangan itu adalah daripada seramai 280 ahli AIM di blok berkenaan yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing menerusi skim pinjaman ditawarkan agensi tersebut.
“Pelbagai barang keperluan diberikan termasuk beras, kopi, gula dan minyak masak. Ahli-ahli AIM yang berjaya kita galakkan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Program itu dilancarkan Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Juliana Abdul Ghani.
Hadir sama, Penolong Pengurus Wilayah Kedah Selatan 1, Samsudin Abdullah dan Pengurus AIM Cawangan Yan, Sazali Mat Taib.
Penerima bantuan, Budin Drani, 60, dari Taman Ria Jaya di sini, bersyukur kerana menerima bantuan itu kerana dapat meringankan beban semasa hendak menyambut kedatangan Ramadan.
Katanya, dia hanya bergantung pendapatan daripada menjual barangan kitar semula bersama isterinya iaitu kira-kira RM10 sehari.
Ibu tunggal, Zunaidah Saad, 46, dari Taman Seri Bayu berkata, dia gembira kerana terpilih menerima sumbangan yang sekali gus menceriakan enam orang anaknya pada Ramadan kali ini.
Manakala Rokiah Ahmad, 46, dari Taman Amanjaya pula berkata, dia tidak mampu lagi bekerja setelah kaki kanannya dipotong akibat menghidap kencing manis sejak tiga tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











